Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Gunung Kinabalu, Lagu Patriotik Pertama Azharina Untuk Sabah


BERSEMPENA sambutan Hari Malaysia, penyanyi Azharina Azhar melancarkan lagu patriotik pertamanya yang berjudul Gunung Kinabalu. Karya istimewa ini adalah hasil duet bersama sepupunya, Daniesh Suffian, yang juga merupakan penyanyi.

Lagu ini dihasilkan sebagai penghormatan kepada negeri Sabah, sambil mengenang jasa dan legasi arwah Datuk Haji M.Y. Ismail, tokoh keluarga yang sangat dihormati oleh kedua-dua artis ini.

Menariknya, Gunung Kinabalu adalah adaptasi daripada lagu lama yang pernah dinyanyikan oleh Surianah Mansah, ibu kepada Daniesh dan salah seorang artis pop terkenal Sabah pada era 1990-an.

Dengan sentuhan baharu dari Azharina dan Daniesh, lagu ini diolah semula menjadi karya kontemporari yang lebih segar, sama ada dari segi susunan muzik mahupun lirik, mengekalkan semangat cintakan negeri dan tanah air.

Hasilnya adalah sebuah karya yang memancarkan jati diri rakyat Sabah sambil tetap mengekalkan nilai warisan budaya tempatan.

Kolaborasi Keluarga yang Bermakna

Azharina menyatakan rasa syukur dan bangganya kerana dapat terlibat dalam projek ini. Baginya, ia bukan sekadar pencapaian profesional, tetapi juga satu kenangan peribadi yang sangat mendalam.

"Ini adalah lagu patriotik pertama saya dan saya amat bersyukur kerana dapat menyanyikannya sebagai anak Sabah. Lebih membahagiakan, saya dapat bekerjasama dengan sepupu saya sendiri, Daniesh.

"Kami sangat rapat, jadi projek ini terasa sangat istimewa. Saya harap akan ada lebih banyak kolaborasi seperti ini pada masa hadapan kerana ia mengangkat warisan keluarga dan tanah kelahiran kami," ujarnya.

Bagi Daniesh pula, pengalaman bekerjasama dengan Azharina adalah sesuatu yang sangat bermakna dalam perjalanan seninya. Kolaborasi ini bukan sekadar peluang profesional, tetapi juga momen keluarga yang penuh emosi dan kenangan.

"Projek ini memberi saya peluang baharu dalam karier. Bekerjasama dengan Azharina, yang juga sepupu saya sendiri, membawa rasa istimewa. Kami dapat merasakan chemistry yang kuat sepanjang proses rakaman.

"Malah, kami menerima banyak maklum balas positif daripada peminat sejak beberapa cover lagu kami dimuat naik di TikTok dan media sosial lain. Ramai yang menyokong dan meminta kami teruskan kerjasama ini," kongsi Daniesh.

Azharina turut berkongsi bahawa Gunung Kinabalu dipilih sebagai judul dan tema utama lagu kerana ia melambangkan kekuatan, ketabahan, dan kebanggaan rakyat Sabah.

"Gunung ini bukan sekadar ikon geografi, tetapi lambang jati diri dan semangat rakyat negeri di bawah bayu," jelasnya.

Lagu Gunung Kinabalu dilancarkan secara rasmi pada 3 September 2025, bersempena sambutan Hari Malaysia. Ia kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments