Hot Posts

6/recent/ticker-posts

12 Penginapan Unik di Western Australia: Dari Outback ke Glamping, Semua Ada Cerita Sendiri

| KREDIT FOTO: Tourism Western Australia

Oleh: SORAYA AFNAN


DI Western Australia, tempat menginap bukan sekadar ruang untuk tidur tetapi ia sebahagian daripada pengalaman perjalanan itu sendiri.


Dari padang tandus ke pesisir pantai, setiap lokasi memberi peluang untuk benar-benar menyelami keindahan dan budaya Australia Barat sebaik sahaja anda tiba.

Bayangkan bangun pagi di bawah langit bertabur bintang, tidur di ladang zaitun organik, atau bermalam di khemah glamping di tepi pantai Ningaloo Reef yang diiktiraf UNESCO. Bagi pelancong Malaysia, ini bukan sekadar percutian, tapi kisah yang tercipta di setiap malam penginapan.

Untuk yang ingin lari seketika dari kesibukan bandar, stesen outback menawarkan peluang untuk menyelami kehidupan pedalaman sebenar Australia.

Antaranya Murchison House Station dekat Kalbarri, ladang pastoral berusia ratusan tahun yang merangkumi lebih 350,000 ekar tanah gersang, sungai dan garis pantai Lautan Hindi.

Di sini, tetamu boleh berkhemah di tepi homestead, meneroka tebing batu pasir merah, berkayak di Sungai Murchison atau sekadar menikmati pemandangan langit malam penuh bintang.

Sedikit ke selatan, Nambung Station yang berdekatan dengan Gurun Pinnacles pula menawarkan suasana damai dengan pemandangan terbuka, laluan berjalan kaki dan hidupan liar yang melata.

Sama ada anda menginap di kotej desa atau berkhemah di bawah bintang, semuanya menjanjikan ketenangan yang sukar digambarkan.

Jika mahu rasa gabungan pantai dan padang tandus, Quobba Station yang terletak 80 kilometer dari Carnarvon ialah pilihan tepat.

Terletak di antara outback dan Lautan Hindi, penginapan ini menawarkan peluang memancing, menyelam, berselancar dan melihat ikan paus bermigrasi.

Tidak jauh dari situ, Warroora Station memberi pilihan penginapan mesra alam, daripada vila tepi laut hingga bilik gaya stockmen semuanya dikelilingi pantai indah dan laluan semula jadi untuk diterokai.

Bullara Station pula menawarkan pengalaman serupa, dengan sentuhan lebih moden dan selesa, lengkap dengan khemah safari dan kotej mesra keluarga.

Jika anda lebih tertarik pada suasana laut, Esperance Chalet Village menampilkan chalet berbentuk A-frame di tengah alam semula jadi, sesuai untuk mereka yang mahukan privasi dan ketenangan.

Sementara Sal Salis Ningaloo Reef, yang terletak di kawasan warisan dunia, membawa konsep 'luxury in the wild', glamping di tepi pantai dengan khemah eco-luxe, hidangan tempatan, dan malam penuh bintang di Cape Range National Park.

Glamping, Eco Retreat dan Penginapan Penuh Gaya

Untuk yang ingin menikmati alam tanpa mengorbankan keselesaan, Western Australia menawarkan pelbagai pilihan glamping dan eco-retreat yang menggabungkan gaya moden dengan kelestarian alam.


KREDIT FOTO: Tourism Western Australia


Di kawasan Kimberley, El Questro menjadi lokasi epik bagi mereka yang sukakan pengembaraan sebenar. Daripada memancing barramundi hingga menjelajah lokasi terpencil dengan helikopter, semuanya berlatarbelakangkan landskap liar yang mengagumkan.

Bagi yang lebih suka suasana romantik dan damai, Olio Bello di Margaret River menawarkan glamping mewah di ladang zaitun organik seluas 320 ekar.

Di sini, 16 bungalow safari bergaya menanti, lengkap dengan bilik mandi peribadi, dapur kecil dan dek menghadap tasik. Tetamu turut disajikan pengalaman istimewa menikmati hasil buatan ladang seperti minyak zaitun premium dan produk organik tempatan.

Pilihan moden lain seperti Heyscape Tiny Cabins, Barn Hives dan Mile End Glamping pula membawa konsep 'off-grid luxury', pengalaman tinggal di tengah alam dengan kemudahan moden.

Heyscape menawarkan kabin kecil lengkap dengan tab mandi luar dan pemandangan hutan di Denmark dan Yallingup. Barn Hives pula menyediakan pod dua tingkat di ladang anggur berhampiran Smiths Beach, manakala Mile End Glamping membolehkan anda tidur di dalam kubah geodesic mewah di tengah alam semula jadi Margaret River.

Setiap penginapan di Western Australia membawa cerita tersendiri sama ada anda disapa kanggaru di waktu pagi, tidur di bawah langit berbintang, atau berlayar di sungai dengan houseboat peribadi.

Paling menarik, semua ini tidak sejauh yang disangka, hanya enam jam penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Perth.

Western Australia menanti dengan pengalaman yang luar biasa. Jadi, kalau sudah bosan dengan hotel biasa, inilah masanya untuk tukar gaya dan jadikan setiap malam percutian satu kisah yang tak akan dilupakan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments