Hot Posts

6/recent/ticker-posts

‘The Resurrected’ Siri terbaharu Netflix Curi Perhatian Penonton Asia


DALAM tempoh hanya 48 jam selepas tayangan perdana, siri thriller The Resurrected terus melonjak ke tangga teratas carta harian Netflix Taiwan.

Bukan setakat itu, siri ini turut menembusi senarai Top 10 harian di Hong Kong, Thailand, Malaysia, Singapura dan Vietnam, satu permulaan yang cukup mengagumkan untuk karya bergenre misteri dan dendam ini.

Sejak debut globalnya pada 9 Oktober, siri ini kekal kukuh dalam senarai Top 10 harian di pelbagai negara Asia tersebut selama beberapa hari berturut-turut. Ia sekali gus membuktikan bahawa The Resurrected bukan sekadar sebuah drama, tetapi fenomena baharu yang mencuri perhatian penonton serantau.

Dalam carta mingguan Netflix bagi siri bukan bahasa Inggeris (6–12 Oktober), drama ini turut tersenarai di tangga No.2 di Taiwan, No.4 di Hong Kong, No.5 di Thailand, serta No.8 di Singapura dan Vietnam.

Menerusi sambutan luar biasa dan ulasan positif dari seluruh rantau, The Resurrected kini menjadi antara siri bahasa Cina paling diperkatakan di Netflix.

Gandingan Pelakon Hebat

Selepas berehat lama daripada dunia televisyen, pelakon Shu Qi membuat kemunculan semula menerusi watak Wang Hui-chun, seorang ibu tunggal yang menjaga anak perempuannya yang sedang koma. Persembahannya dalam siri ini mendapat pujian ramai apabila menampilkan lakonan yang natural, mendalam, dan sarat dengan emosi.

Berkongsi tentang sambutan hangat yang diterima sejak tayangan perdana, Shu Qi mengakui tidak menjangka siri tersebut akan mendapat reaksi sehebat itu daripada penonton di seluruh Asia.

“Beberapa hari ini, setiap kali buka telefon mesti nampak mesej daripada kawan-kawan termasuk yang dah lama tak contact memberitahu saya mereka tengah tengok The Resurrected. Paling menggembirakan bila dapat begitu banyak sokongan dan penghargaan daripada semua.

“Ini kali pertama saya berlakon dalam siri selepas lebih 20 tahun, jadi jujurnya saya agak gementar sebelum tayangan. Tapi bila tengok sambutan yang meriah macam ni, rasa sangat berbaloi.

"Bukan saja untuk saya, tapi juga untuk semua pelakon dan pengarah yang terlibat. Ada peminat tulis, ‘tak sabar nak tunggu musim kedua!’  dan bila baca komen macam tu, saya tahu drama ni dah berjaya,” ujarnya teruja.

Sementara tu, pelakon kelahiran Malaysia, Sinje Lee turut mencuri perhatian menerusi lakonannya sebagai Chao Jing, seorang ibu yang sifatnya bertentangan dengan watak Shu Qi.

Menurut Sinje, perjalanan untuk menjayakan The Resurrected bukanlah sesuatu yang mudah, namun segala usaha dan penantian panjang akhirnya berbaloi apabila melihat sambutan luar biasa daripada penonton.

“Kesungguhan kru produksi sangat bermakna, dan sokongan penonton pula memberi kekuatan. Dah empat tahun saya tak berlakon, jadi bila tengok projek ni meninggalkan impak mendalam, rasa sangat tersentuh. Ada peminat cakap dia sanggup berjaga semalaman nak habiskan siri ni, comel betul,” katanya.

Siri ini juga menampilkan dua pelakon Thailand iaitu Sukollawat Kanaros (Weir) dan Patrick Nattawat Finkler yang berjaya menawan hati penonton di seluruh Asia Tenggara.

Patrick, pelakon muda berdarah Thai-Jerman, kini membina pengaruh tersendiri di media sosial.

“Saya sangat gembira ramai suka siri ni dan watak Eason. Saya rasa siri ini memang kena tengok dengan teliti, malah patut ditonton semula sebab banyak perincian tersembunyi.

"Ada satu teori peminat yang saya suka, kononnya Eason sebenarnya dalang utama semua kejadian! Seronok baca teori-teori peminat, imaginasi mereka luar biasa,” ujarnya.

Pengarah Leste Chen dan Hsu Chao-jen juga menzahirkan penghargaan atas sambutan hebat yang diterima.

“Kami sangat bersyukur dengan cinta dan maklum balas penonton. Semasa menulis skrip, kami sering tertanya-tanya, ‘apa yang terjadi selepas kebangkitan semula?’

"Di sebalik jalan cerita yang berat, kami cuba sisipkan detik humor dan kemanusiaan, dan gembira bila penonton dapat rasakan itu,” ujar mereka.


Berlatar di bandar fiksyen bernama Benkha, The Resurrected mengisahkan dua orang ibu yang dipertemukan oleh kebencian dan dendam di mana mereka menuntut keadilan atas nasib anak perempuan masing-masing yang terlibat dalam kes penipuan dan penculikan.

Dengan bantuan seorang dewi misteri, mereka menghidupkan semula ketua penjenayah yang telah mati untuk menghukumnya. Namun walau azab yang diberikan tak berkesudahan, amarah mereka tetap tak pernah padam. Di sebalik rahsia gelap yang terbongkar, persahabatan mereka mula goyah dan memaksa kedua-duanya menilai semula sempadan antara keadilan dan kemanusiaan.

The Resurrected kini boleh distrim secara eksklusif di Netflix di seluruh dunia.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments