Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Dari Seni ke Strategi: Diana Danielle, Joe Flizzow Jadi Inspirasi Serantau



DUA ikon berpengaruh Malaysia, Diana Danielle dan Joe Flizzow, menjadi tumpuan utama di 10th ASEAN Young Entrepreneurs Carnival 2025 apabila kedua-duanya menerima pengiktirafan atas sumbangan luar biasa dalam menggabungkan kreativiti, keusahawanan dan impak sosial.

Diana Danielle menerima anugerah Outstanding Content Creator and Performing Artist, manakala Joe Flizzow pula dinobatkan sebagai Outstanding Hip Hop Entrepreneur.

Pengiktirafan ini diberikan atas kemampuan mereka menyatukan semangat seni dengan kecemerlangan perniagaan sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi kreatif baharu di rantau ASEAN.

Malam penghargaan itu berlangsung di MATRADE Kuala Lumpur pada 16 Oktober lalu menerusi majlis ASEAN Young Entrepreneurs Gala Dinner & Awards Ceremony, yang turut dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang dan Yang Amat Mulia Tengku Natasya, serta dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Bermula sedekad lalu sebagai platform kecil inovasi belia, karnival ini kini berkembang menjadi antara perhimpunan paling berprestij di rantau ASEAN, meraikan kreativiti, budaya dan semangat keusahawanan dengan tema tahun ini, 'Connecting ASEAN, Creating Global Change'.

Melangkaui Garis Seni dan Perniagaan

Pengiktirafan yang diterima Diana Danielle menandakan transformasinya daripada bintang layar perak kepada usahawan kreatif pelbagai platform.

Dedikasi bintang filem Imaginur itu dalam menghasilkan kandungan bermakna dan autentik bukan hanya menghiburkan, tetapi turut mengetengahkan isu sosial serta kesihatan mental yang menjadikan dirinya suara penting dalam ruang digital masa kini.

Sementara itu, Joe Flizzow legenda hip hop dan peneraju industri muzik urban Malaysia diraikan atas visi dan kepimpinannya dalam membentuk landskap muzik tempatan serta mengangkatnya ke pentas serantau.

Melalui Kartel Records, program bimbingan dan kolaborasi rentas negara, Joe terus memperkasa ekonomi kreatif Asia Tenggara dengan semangat 'from the streets to the world'.

Menurut Pengerusi AYEC 2025 merangkap Pengerusi Pengasas ASEAN Young Women Entrepreneurs Club (AYWEC), Deborah Melissa Bottreau, kedua-dua figura ini mewakili semangat generasi baharu ASEAN yang berani, kreatif dan berpandangan global.

“Mereka membuktikan bahawa budaya dan perniagaan boleh berjalan seiring dalam mencetuskan perubahan serantau,” ujarnya.

Disokong oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), MITI, ASEAN-BAC, MATRADE, MIDA dan Sekretariat ASEAN, edisi kali ini turut menandakan satu dekad evolusi AYEC, daripada inisiatif pemula pada tahun 2015 kepada gerakan serantau yang kini memacu inovasi serta keusahawanan belia.

Malam gemilang itu bukan sekadar tentang piala dan ucapan penghargaan, tetapi ia menjadi simbol kepada masa depan ekonomi ASEAN yang kini tidak lagi berpaksikan teknologi dan perdagangan semata-mata.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments