KIIRAS mengekspresikan gaya unik mereka melalui koleksi FILA Love:All |
BAYANGKAN satu permainan yang tidak terikat dengan peraturan, bebas daripada jangkaan, dan hanya berlandaskan keseronokan.
Itulah inti hati koleksi terbaharu dari FILA - LOVE:ALL yang mengetengahkan semangat bermain bukan untuk menang, tetapi untuk merasai nikmatnya permainan itu sendiri.
Terinspirasi daripada dunia sukan tenis, di mana setiap perlawanan bermula dengan perkataan 'love', koleksi ini membawa pendekatan yang lebih lembut dan inklusif terhadap dunia sukan sebagai satu ruang ekspresi diri, kreativiti dan hubungan antara insan.
LOVE:ALL menampilkan pendekatan unik terhadap gaya hidup sporty dengan kolaborasi istimewa bersama tiga artis muda dari Asia Tenggara iaitu SoSo oleh MonKiddo dari Malaysia, Linh oleh Bao Viet (Vietnam), dan MM oleh MIWD (Thailand).
Setiap watak yang mereka cipta bukan sekadar visual, tetapi simbol kepada kebebasan dan keberanian untuk mengekspresikan diri, bebas daripada stereotaip, bebas daripada batasan.
Seni, Ekspresi dan Keberanian Menjadi Diri Sendiri
Menurut MonKiddo, SoSo iaitu watak raksasa berwarna-warni ciptaannya direka untuk menggalakkan orang ramai menerima siapa diri mereka yang sebenar.
"Saya harap dengan koleksi ini, semua orang rasa bebas untuk bermain, bersuara, jadi luar biasa dengan cara sendiri, dan paling penting, berani untuk jadi diri sendiri," katanya.
Sementara itu, Bao Viet melihat seni dan sukan sebagai dua platform semula jadi yang menyatukan komuniti. Wataknya, Linh, merupakan gabungan elemen budaya tradisional Vietnam dengan sentuhan moden sebagai simbol rasa bangga terhadap akar budaya sambil meraikan identiti peribadi masa kini.
"Bagi saya, bila kita hargai warisan kita dan berani mengekspresikannya, itu satu bentuk seni yang paling jujur," ujarnya.
Dari Thailand, MIWD memperkenalkan MM, sebahagian daripada siri wataknya yang dikenali sebagai 'Kikees', yang tampil dengan ekspresi khayalan dan sut maskot bersaiz besar.
"Ia adalah cara saya melukis versi dunia yang berbeza daripada realiti biasa," ujarnya ringkas namun penuh makna.
MIWD (kiri) dan MonKiddo berkongsi rekaan mereka yang mencerminkan nilai koleksi FILA LOVE:ALL |
Menyemarakkan lagi acara pelancaran, kumpulan K-pop KIIRAS turut membuat penampilan istimewa. Dikenali dengan persona berani dan gaya ekspresif mereka, kehadiran KIIRAS memberikan sentuhan segar kepada acara.
Menurut Ling Ling, rapper utama kumpulan itu, koleksi ini sangat dekat di hati mereka kerana ia mencerminkan nilai yang mereka pegang iaitu menjadi diri sendiri tanpa kompromi, sama ada di atas pentas atau dalam kehidupan seharian.
“Kami semua datang daripada latar belakang yang berbeza, tapi semangat kami sama. Itulah yang menyatukan kami. Kami sukakan bagaimana konsep LOVE:ALL ni meraikan gaya, semangat dan kebebasan bersama,” katanya.
Setiap aktiviti direka untuk menggalakkan keterangkuman dan membebaskan kreativiti pengunjung. Ada juga sesi eksklusif bersama MonKiddo dan MIWD, di mana tetamu boleh berinteraksi terus dengan minda kreatif di sebalik watak-watak ikonik ini.
Suasana turut meriah dengan kehadiran personaliti fesyen seperti Arena Wan, Syed Shafiq, Tammy Leong, Jackson Wong dan Hayden Wong yang masing-masing menambah warna dan gaya tersendiri kepada majlis.
FILA LOVE:ALL bukan sekadar koleksi tetapi ia adalah seruan untuk bermain, berkarya dan menjadi diri sendiri sepenuhnya, tanpa perlu takut dilihat berbeza. Ia adalah bukti bahawa gaya dan semangat boleh wujud dalam satu ruang yang bebas, inklusif dan menyeronokkan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments