MARVEL Studios sekali lagi membuktikan kuasa besar mereka di layar perak apabila The Fantastic Four: First Steps terus menguasai carta kutipan global.
Filem ini memulakan langkah dengan pembukaan hujung minggu mencecah USD218 juta (RM922.2 juta), dan sehingga kini telah mengumpul USD368.7 juta (RM1.5 bilion), menjadikannya tayangan nombor satu di seluruh dunia selama dua minggu berturut-turut.
Di rantau Asia Tenggara, sambutan hangat cukup ketara dengan kutipan terkini berjumlah USD14.5 juta (RM61.3 juta). Indonesia mendahului dengan USD3.6 juta, diikuti rapat oleh Filipina (USD3.4 juta), Thailand (USD2.7 juta), Malaysia (USD2.5 juta/RM10.5 juta) dan Singapura (USD1.7 juta).
Rachel Fong, Ketua Studio The Walt Disney Company Asia Tenggara, berkongsi rasa teruja melihat sokongan luar biasa peminat.
“Luar biasa melihat peminat berkumpul meraikan First Family Marvel. Sentuhan era 1960-an dengan dunia retro-futuristik dalam filem ini membolehkan kami bermain dengan pelbagai idea seronok daripada aktiviti bertema hingga cosplay peminat.
"Matlamat kami adalah mencipta pengalaman bermakna yang membawa mereka masuk ke dunia penceritaan, sama ada melalui pertunjukan dron spektakular di Jakarta, gala perdana penuh bintang di Bangkok, atau pemasangan pop-up di Singapura, Malaysia dan Filipina.
"Sangat mengujakan melihat keterujaan mereka yang tak sabar menonton filem ini sebaik ia mula ditayangkan,” katanya.
Aktivasi Peminat, Kuasa ‘First Family’ Marvel
Di Malaysia, kempen promosi turut menarik perhatian melalui aktiviti bergerak 'Galactic Café', yang berhenti di SEGi University dan pasar hujung minggu popular, Pingmin Hub.
Di situ, pengunjung dapat menikmati pengalaman interaktif bertemakan Fantastic Four. Kempen ini turut diperkuatkan dengan pengambilalihan aplikasi Touch ‘n Go di seluruh negara, melanjutkan keterujaan ke dunia digital.
Berlatarbelakangkan dunia retro-futuristik yang diinspirasikan era 1960-an, The Fantastic Four: First Steps memperkenalkan barisan First Family Marvel iaitu Reed Richards/Mister Fantastic (Pedro Pascal), Sue Storm/Invisible Woman (Vanessa Kirby), Johnny Storm/Human Torch (Joseph Quinn) dan Ben Grimm/The Thing (Ebon Moss-Bachrach) yang kali ini berdepan ancaman terbesar mereka.
Dalam misi mempertahankan Bumi daripada Galactus (Ralph Ineson), dewa angkasa yang lapar untuk memusnahkan seluruh planet, dan Herald misterinya, Silver Surfer (Julia Garner), mereka terpaksa mengimbangi peranan sebagai adiwira dan kekuatan ikatan kekeluargaan.
Namun apabila rancangan Galactus menjadi terlalu peribadi, pertarungan mereka bukan lagi sekadar untuk menyelamatkan dunia, tetapi juga diri mereka sendiri.
Filem aksi-pengembaraan ini turut dibintangi Paul Walter Hauser, John Malkovich, Natasha Lyonne dan Sarah Niles, manakala arahan oleh Matt Shakman dan diterbitkan oleh Kevin Feige serta penerbit eksekutif Louis D’Esposito, Grant Curtis dan Tim Lewis.
The Fantastic Four: First Steps kini boleh ditonton secara eksklusif di pawagam seluruh negara. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments