Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Borneo Fashion Week 2025 - Tradisi Borneo, Aura Global


Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN

BORNEO Fashion Week (BFW) 2025 kembali dengan penuh gaya dan kali ini lebih berani daripada sebelumnya. Pavilion Damansara Heights dipilih sebagai pentas baharu yang eksklusif, sekali gus menjadikan ruang ini destinasi fesyen bertaraf dunia.


Acara yang bakal berlangsung pada 10 hingga 11 Oktober ini bukan sekadar pertunjukan fesyen semata-mata, tetapi juga satu perayaan budaya dan kreativiti. Walaupun membawa sentuhan global, jiwa Borneo tetap menjadi nadi utama.

Diasaskan oleh Stephanie Alcantara, juara Mrs. Malaysia Classique Globe 23/24, BFW kini diiktiraf sebagai salah satu festival fesyen paling ditunggu-tunggu dalam kalendar kreatif rantau ini.

Stephanie menegaskan misinya adalah untuk menjadikan BFW berdiri sebaris dengan acara fesyen antarabangsa melalui tema Fashion With Purpose.

Baginya, Borneo Fashion Week bukan hanya tentang pakaian, tetapi tentang identiti, kebanggaan, dan keberadaan.

“Matlamat utama kami adalah menjadikan BFW platform penceritaan yang memupuk kelestarian sambil mengangkat warisan budaya ke mata dunia. BFW ialah masa depan fesyen Borneo dan Malaysia.

"Kami mahu pupuk bakat, buka peluang global dan ciptakan impak ekonomi,” katanya dengan penuh keyakinan.

Fashion With Purpose: Antara Tradisi & Kelestarian

Tema Fashion With Purpose menekankan keberanian dalam rekaan, kelestarian alam sekitar dan penghargaan kepada warisan budaya. Setiap pereka diwajibkan menghasilkan sekurang-kurangnya satu rekaan lestari sebagai simbol komitmen terhadap fesyen berdaya maju.

Gabungan perspektif global dengan kebanggaan lokal ini dijangka menjadikan BFW 2025 lebih daripada sekadar pertunjukan fesyen. Festival ini menyatukan fesyen, seni, muzik, budaya dan gaya hidup dalam satu pentas yang menyeluruh.

Menariknya, BFW 2025 turut meraikan bakat muda dan pereka baharu. Mereka diberikan pentas dan liputan setara dengan nama-nama besar industri, membolehkan mereka membina rangkaian lebih luas dengan media, jenama dan penggiat global.

Langkah ini membuktikan bahawa BFW bukan hanya milik elit fesyen, tetapi medan terbuka untuk wajah-wajah baharu yang mahu mencipta sejarah. Lebih istimewa, kerjasama strategik bersama media antarabangsa serta pempengaruh fesyen dijangka memperluas pengaruh BFW di peringkat dunia.


Stephanie turut mengesahkan bahawa pihaknya sedang berbincang dengan beberapa pereka antarabangsa. Perkembangan ini menjadi bukti bahawa fesyen Malaysia kini semakin mendapat perhatian global.

“Impian kami mahu menjadikan BFW pusat fesyen Asia dan disenaraikan dalam kalendar rasmi MOTAC menjelang Visit Malaysia 2026,” ujarnya.

BFW 2025 juga akan menampilkan rekaan berasaskan tekstil tradisional, pertukangan asli Borneo dan motif etnik dengan sentuhan moden yang pasti menawan audiens tempatan mahupun antarabangsa.

Dalam masa yang sama, penggunaan bahan mesra alam memperkukuh komitmen festival ini terhadap fesyen eco-conscious. Fesyen yang lestari, akan menjadi perhatian seluruh dunia.

Tidak cukup dengan itu, senarai pereka tahun ini juga benar-benar hebat. Nama-nama seperti Angelique, Aldrin, Clarissima, Calvin Tho, December Teo, Maswira Majid dan ramai lagi bakal menyerikan pentas.

Turut serta ialah pereka antarabangsa seperti Hayden Ng dari Singapura, Bianca dan Gracie (Vietnam) serta Bilang (Brunei), menjadikan lineup kali ini lebih segar, pelbagai dan berprestij.

BFW 2025 bukan sekadar pentas fesyen tetapi ia adalah perayaan identiti, budaya dan gaya yang kini melangkah ke pentas dunia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments