Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Henry Moodie Kembali Dengan ‘Mood Swings’ — Album Debut Bakal Dilancar 24 Oktober


BINTANG pop muda sedang meningkat naik, Henry Moodie, muncul dengan single terbaharunya berjudul Mood Swings, yang kini rasmi dilancarkan di bawah Robots & Humans (UK) dan Columbia Records (US).

Menariknya, lagu ini turut menjadi judul kepada album debut Henry yang bakal menemui peminat pada 24 Oktober depan. Bersama pelancaran itu, Henry juga bersedia memulakan tour UK dan Eropah (EU) pada Mac hingga April 2026 yang mana ia sesuatu yang pastinya dinantikan ramai.

Dalam Mood Swings, Henry sekali lagi membuktikan kehebatannya menghasilkan pop anthem masa depan. Suaranya yang lembut namun bertenaga menjadi nadi utama lagu ini, diserikan dengan produksi yang halus dan susunan muzik yang memukau.

Ia memperlihatkan sisi kematangan Henry sebagai penulis lagu dan menjadi sebab mengapa ramai menyebutnya sebagai bintang pop baharu paling menyerlah dari UK.

Setakat ini, Henry telah pun memperkenalkan lima lagu yang turut dimuatkan dalam album debut tersebut iaitu Sunday Morning, Comedown, Indigo, Right Person, Wrong Time, dan Drunk Text.

Berbicara tentang makna di sebalik Mood Swings, Henry berkata, lagu ini ibarat sebuah pengenalan diri iaitu cara dia meluahkan segala perasaan yang sering disembunyikan daripada dunia.

“Bayangkan awak ialah ahli terapi saya dan ini sesi pertama kita. Saya duduk dan terus ‘meluahkan’ semua rasa tak yakin saya. Itulah vibe yang saya mahu pendengar rasa bila dengar Mood Swings.

"Sebelum kita menyelami isi album ini, saya mahu orang faham dulu siapa diri saya sebenarnya,” jelasnya.

Menuju Era Baharu Dalam Karier

Tahun 2026 bakal menjadi tahun besar buat Henry. Tour UK dan EU yang dirancangnya dijangka menjadi antara yang paling sensasional, dengan persembahan utama di O2 Forum Kentish Town, London pada 17 April, diikuti konsert di bandar-bandar seperti Manchester, Glasgow, Dublin, Paris, Berlin, Amsterdam dan banyak lagi.


Baru berusia 21 tahun, Henry Moodie sudah pun mencatat hampir 1 bilion jumlah penstriman global. Pada tahun 2022, dia tersenarai dalam Top 10 artis UK paling banyak ditonton di TikTok, dan pada tahun 2025, namanya turut dimasukkan dalam senarai ‘Future of Music’ oleh Rolling Stone UK di mana ia menjadi bukti bahawa dia bukan sekadar bakat sementara.

Selepas menamatkan diploma penulisan lagu di sekolah muzik BIMM, Henry menemui suara sebenar dirinya sebagai penyanyi solo dan penulis lagu dengan gaya yang sarat emosi dan lirik yang menyentuh jiwa.

Pada tahun 2023, Henry memperkenalkan EP debutnya, In All of My Lonely Nights, diikuti EP kedua Good Old Days pada tahun 2024 yang mendapat sambutan hangat. Kini, melalui Mood Swings, dia bersedia membuka lembaran baharu dalam perjalanan muziknya.

Senarai penuh lagu dalam album Mood Swings ialah Mood Swings, Cigarette, Me Myself And I, Favourite Mistake, People Pleaser, Growing Pains, Sunday Morning, Comedown, Drunk Text, Indigo, Ten Years Time, Right Person Wrong Time, Pick Up The Phone, dan Dear Drew.

Dengan pelancaran album ini, Henry Moodie terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara suara muda paling segar dalam dunia pop masa kini. Melalui lagu dan kisah yang dibawakan, dia bukan sekadar menyentuh soal emosi, tetapi juga menzahirkan perjalanan sebagai artis yang berani kekal jujur dalam setiap langkah muziknya. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments