Hot Posts

6/recent/ticker-posts

13 Wanita Malaysia Hebat Dalam Program Aspirasi Untuk Inspirasi


ADA sesuatu yang cukup istimewa apabila kisah perjuangan wanita dirakam dan dijadikan inspirasi. Itulah yang cuba disampaikan oleh dokumentari terbaharu terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjudul Aspirasi Untuk Inspirasi.

Program ini mengetengahkan 13 tokoh wanita Malaysia yang menabur bakti dalam pelbagai bidang, daripada kesihatan, kehakiman, ekonomi, seni, sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menerusi 13 episod, setiap Isnin hingga Rabu jam 12.30 tengah hari bermula 6 Oktober di saluran Okey dan RTMKlik, penonton berpeluang mengenali lebih dekat wanita-wanita luar biasa yang telah mengangkat martabat negara serta memperjuangkan profesion masing-masing.

Mereka datang daripada pelbagai latar belakang, etnik dan generasi, ahli akademik, atlet, pemuzik, selebriti, ahli perniagaan, wakil NGO, dan ramai lagi.

Dari Perintis ke Ikon Moden

Antara nama besar yang dipaparkan ialah Tan Sri Dr. Salma Ismail, doktor wanita pertama di Malaysia yang membuka jalan kepada generasi baharu dalam bidang perubatan. Kisah beliau melangkah masuk ke dunia perubatan pada tahun 1949 menjadi titik tolak sejarah, sekaligus membuktikan wanita juga mampu menjadi pelopor dalam bidang yang dahulunya didominasi lelaki.

Tokoh lain yang diraikan ialah Lt. Kol. Emilia Kamaruddin, juruterbang pesawat pejuang wanita pertama dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia. Bukan sekadar menerbangkan jet pejuang seperti Skyhawk dan Hawk, beliau juga menjadi wanita pertama dilantik sebagai jurulatih penerbangan.

Sementara itu, dalam bidang kehakiman, nama Tun Datuk Seri Utama Tengku Maimun Tuan Mat menjadi simbol keberanian dan ketegasan apabila beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, wanita pertama dalam sejarah Malaysia menduduki jawatan tertinggi dalam badan kehakiman.

Dunia seni suara pula diwakili oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara yang telah memikat hati jutaan pendengar di Malaysia dan rantau ini sejak 1995. Dengan lebih 300 anugerah dalam tangan serta pengiktirafan sebagai Biduanita Negara pada 2024, Siti bukan sekadar seorang penyanyi tetapi lambang kegigihan, bakat dan dedikasi.

Tidak ketinggalan, Datuk Habsah Hassan turut menjadi sebahagian daripada dokumentari ini. Beliau dikenali sebagai penulis lirik tersohor dengan lebih 1000 karya, termasuk lirik yang pernah memenangi Anugerah Cakera Emas serta Anugerah Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular. Sumbangan Habsah telah menjadikan beliau antara pena paling berpengaruh dalam industri muzik tempatan.

Kehebatan Malaysia di pentas dunia pula diserlahkan oleh Tan Sri Michelle Yeoh. Bermula daripada pertandingan ratu cantik, beliau kini berdiri sebagai ikon antarabangsa dengan kejayaan memenangi Academy Awards (Oscars) sebagai Pelakon Wanita Terbaik,  satu sejarah manis buat Asia.

Bidang seni lakon dan persembahan pula diwakili oleh Datuk Hajah Fauziah Nawi, seorang bintang versatil yang menceburi hampir semua cabang seni daripada radio, teater, TV, filem, nyanyian sehinggalah menjadi tenaga pengajar. Lebih 50 tahun berkarya menjadikan beliau figura seni yang dihormati ramai.

Selain itu, episod-episod dokumentari ini turut menyorot kisah Hajah Zainab atau Mek Nab, tokoh kraf negara; Laksamana Pertama Zulinda Ramly, wanita pertama yang mengetuai Agensi Maritim Malaysia; serta Profesor Emeritus Datuk Dr. Siti Zuraina Abdul Majid, ahli arkeologi pertama Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Penonton juga dapat menyaksikan Puan Sri Tiara Jacquelina yang membawa produksi filem dan teater Melayu ke tahap dunia melalui karya seperti Puteri Gunung Ledang dan Ola Bola. Turut dipaparkan ialah Ibu Zain, pejuang bahasa Melayu yang menjadi antara penggerak utama tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tidak dilupakan, kisah legenda Puan Sri Saloma yang telah merakam hampir 500 buah lagu sepanjang kerjayanya, sehingga beliau dinobatkan sebagai Biduanita Negara pertama pada tahun 1978.

Aspirasi Untuk Inspirasi bukan sekadar dokumentari, tetapi satu penghormatan kepada wanita Malaysia yang telah mencipta sejarah. Kisah mereka bukan sahaja menyemarakkan rasa bangga, tetapi juga mengingatkan kita bahawa keberanian, bakat dan keteguhan jiwa mampu membuka jalan untuk generasi akan datang. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments