BERMULA 9 Oktober, jenama Hulu akan mula diperkenalkan kepada penonton di seluruh dunia apabila ia secara rasmi menjadi jenama hiburan umum global di Disney+, menggantikan label Star.
Di Malaysia, Disney+ Hotstar juga akan dikenali sebagai Disney+ selaras dengan penjenamaan baharu ini. Dengan kemas kini tersebut, para pelanggan masih boleh menikmati pelbagai kandungan yang mereka kenal dan sukai di Disney+ daripada hiburan umum bertaraf anugerah, program keluarga terbaik, hinggalah koleksi APAC Originals yang semakin berkembang.
Dikenali dengan siri original pemenang anugerah dan warna 'hijau' ikoniknya, Hulu kini membawa lebih banyak kandungan menarik untuk peminat di Malaysia termasuk deretan siri original dari Amerika Syarikat, Korea, dan Jepun yang bakal tiba di platform ini tidak lama lagi.
Antara judul yang paling dinantikan termasuk drama perundangan penuh gaya dan penuh debar iaitu All’s Fair daripada Ryan Murphy, yang dibintangi barisan pelakon hebat seperti Glenn Close, Kim Kardashian, dan Niecy Nash; drama komedi romantik Korea berjudul Would You Marry Me lakonan Choi Woo-shik dan Jung So-min; thriller The Manipulated yang menampilkan Ji Chang-wook dan Doh Kyungsoo (D.O.); serta anime Jepun penuh visual memukau Wandance.
Senarai ini akan turut menambah variasi kepada deretan siri popular dan diiktiraf antarabangsa seperti Grey’s Anatomy, Modern Family, Shōgun, dan High Potential, di samping kandungan Asia yang digemari ramai termasuk Tempest, Nine Puzzles, The Judge from Hell, A Shop for Killers, Moving, dan Gannibal.
Menurut Pengurus Besar The Walt Disney Company Southeast Asia, Vineet Puri, langkah membawa Hulu ke Disney+ bukan sekadar penjenamaan semata-mata, tetapi sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh pengalaman penstriman bagi penonton di rantau ini.
“Disney+ memang dikenali dengan koleksi kandungan yang paling digemari penonton di Malaysia. Dengan Hulu sebagai jenama hiburan umum baharu kami di Disney+, kami akan terus menyampaikan penceritaan luar biasa untuk keluarga, rakan-rakan dan para peminat,” ujarnya
ARTIKEL LAIN:
0 Comments