SEMPENA ulang tahun ke-44, jenama jam tangan tempatan Solar Time tampil dengan identiti baharu yang memberi nafas segar kepada legasi mereka yang telah terbina sejak lebih empat dekad lalu.
Langkah ini menandakan fasa baharu dalam perjalanan jenama itu, bukan sekadar tentang penampilan, tetapi evolusi dari segi gaya dan ketukangan yang terus berkembang mengikut masa.
Antara yang menjadi simbol perubahan ini ialah butik Solar Time yang diperbaharui di IOI City Mall, Putrajaya. Terletak dalam salah satu pusat beli-belah utama negara, butik ini kini membawa wajah lebih moden dan kontemporari, seiring dengan hala tuju baharu jenama.
Ia direka bukan hanya sebagai tempat untuk membeli jam tangan, tetapi juga ruang yang menawarkan pengalaman, di mana pengaruh rekaan semasa berpadu dengan nilai warisan jenama.
Pelanggan yang berkunjung akan disambut oleh pasukan yang mahir dan bersedia membantu memahami setiap koleksi jam yang ditawarkan.
Pendekatannya lebih bersifat peribadi, menjadikan proses memilih jam bukan sekadar urusan beli-belah, tetapi satu pengalaman yang lebih bermakna.
Pelancaran wajah baharu ini turut diraikan dengan sebuah majlis istimewa baru-baru ini. Turut hadir ialah penyanyi dan pelakon Bella Astillah serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, yang memeriahkan suasana dengan kehadiran mereka.
Identiti Visual Baharu
Penjenamaan semula ini membawa perubahan ketara pada logo Solar Time yang kini tampil dengan tipografi lebih moden dan kemas. Kesan bayang tiga dimensi menambahkan elemen visual yang menyerlah, dan menjadi simbolik kepada pancaran cahaya matahari , satu metafora kepada semangat jenama yang terus bergerak ke hadapan.
Bella Astillah dan Syed Saddiq turut hadir memeriahkan majlis pelancaran wajah baharu Solar Time |
Emblem bulat ‘ST’ pula diletakkan sebagai pusat kepada identiti visual ini, membawa maksud matahari sebagai sumber tenaga dan penanda masa.
Sekelilingnya dihiasi corak akrilik yang menyerupai sinaran matahari,satu cara halus untuk menggambarkan perjalanan setiap ciptaan Solar Time, dari inspirasi hingga menjadi realiti.
BONIA Everbloom - Jam Edisi Khas
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-44 dan pembukaan semula butik, Solar Time turut memperkenalkan sebuah jam edisi khas hasil kolaborasi bersama BONIA: BONIA Everbloom BNB10837-2525SE.
Rekaan jam ini mengetengahkan simbolisme yang halus, menonjolkan kekuatan dalam kelembutan, dan keanggunan yang tidak terlalu berlebihan.
Di posisi pukul 4, terdapat motif daun semanggi empat kelopak, membawa makna harapan, keharmonian dan tuah. Ia juga satu penghormatan yang manis kepada ulang tahun ke-44 jenama ini.
Bahagian belakang jam diukir dengan tulisan ‘Special Edition Everbloom’, menjadikannya lebih bernilai buat peminat koleksi khas.
Dari segi reka bentuk, jam ini tampil dengan kerangka berbentuk tonneau berlapis emas ros, bersama dial seramik merah wain dan tali silikon yang sepadan.
Elemen bercahaya pada logo BONIA dan daun semanggi memastikan ia tetap mudah dilihat walaupun dalam cahaya rendah, tanpa menjejaskan sentuhan elegan yang dibawa.
Jam edisi khas ini hanya boleh didapati di butik-butik terpilih Solar Time dan juga melalui kedai dalam talian rasmi mereka.
Jika anda peminat jam tangan dengan nilai warisan, tapi masih ingin kekal dengan gaya yang segar, perubahan baharu dari Solar Time ini mungkin sesuatu yang wajar diberi perhatian. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments