SELEPAS kejayaan global musim pertama Limitless with Chris Hemsworth, bintang filem antarabangsa itu kini kembali dengan misi lebih berani, Bukan sekadar untuk hidup lebih lama, tetapi untuk hidup lebih baik.
Siri baharu ini, yang kini dengan judul Limitless: Live Better Now itu akan mula distrim 15 Ogos di Disney+ Hotstar.
Dalam tiga episod istimewa yang mendebarkan, Chris menyahut cabaran fizikal dan mental untuk meneroka bagaimana kita semua boleh memperbaiki kualiti hidup, bukan nanti, tapi bermula hari ini.
Dihasilkan oleh pembikin filem yang pernah dicalonkan Oscar, Darren Aronofsky bersama Nutopia dan Wild State, siri ini merentasi enam negara dalam tempoh dua tahun, memperlihatkan Chris menolak sempadan diri secara fizikal dan emosi.
Pengalaman Baharu, Cabaran Tanpa Skrip
Antara momen paling luar biasa, Chris belajar bermain dram daripada kosong dan naik pentas bersama pemenang Grammy, Ed Sheeran, di hadapan 70,000 peminat.
Dalam episod lain, actor itu memanjat dinding setinggi 600 kaki di Alps, dan menjalani latihan ekstrem ala Komando Korea Selatan, termasuk disembur lada dan dikenakan renjatan elektrik untuk memahami dan mengatasi isu kesakitan kronik yang telah lama membelenggunya.
Semua ini dilakukan bukan pertunjukan semata-mata, tetapi untuk mencari alat dan strategi yang boleh membantu untuk hidup lebih sihat, lebih kuat, dan lebih bahagia.
Chris tidak bersendirian dalam perjalanan ini. Turut menyertai ialah Dr. BJ Miller (pakar penjagaan paliatif), Dr. Maya Shankar (ahli sains kognitif), pemain dram Ben Gordon (Parkway Drive), pendaki solo Steph Davis, legenda motocross Robbie Maddison, serta ahli MMA dan bekas tentera Korea.
Gabungan pengalaman dan kepakaran ini mencipta dialog segar tentang apa erti 'hidup lebih baik', daripada sains otak hingga keberanian mengambil risiko.
Menurut Chris, siri itu benar-benar mengubah caranya melihat kesihatan dan kehidupan.
"Saya harap penonton juga akan rasa terinspirasi untuk keluar dari zon selesa mereka. Sebab kesan perubahan ini pada hidup saya sangat luar biasa,” katanya.
- Brain Power
Chris mencabar dirinya belajar bermain dram dalam masa beberapa bulan, untuk persembahan mengejut bersama Ed Sheeran di Romania. Didorong oleh sains tentang kesan pembelajaran terhadap memori, ini bukan sekadar cabaran muzik tetapi latihan membina ketahanan mental.
- Risk
Diinspirasikan oleh semangat berani anak-anaknya, Chris mencuba panjat dam setinggi 600 kaki di Swiss Alps. Dia belajar tentang 'Flow', satu keadaan fokus tinggi dan bagaimana pendedahan kepada risiko boleh mencipta kesihatan mental yang lebih baik.
- Pain
Chris mengembara ke Korea Selatan untuk memahami dan mengatasi kesakitan kronik. Dengan bantuan Dr. BJ Miller, dia menyertai latihan ekstrem pasukan khas yang menguji ketahanan fizikal dan emosi. Daripada ubat tradisional hinggalah ujian ketahanan ekstrem, semua untuk memahami semula makna kesakitan.
Salah satu kemuncak siri ini ialah detik Chris naik pentas bersama Ed Sheeran menyanyikan Thinking Out Loud di Bucharest. Video momen ini, yang tular dengan hampir 35 juta tontonan di media sosial Chris, Ed dan National Geographic, merupakan penutup sempurna kepada babak Brain Power.
Dengan musim pertamanya menjadi siri streaming kedua paling ditonton National Geographic sepanjang masa, Limitless sekali lagi dijangka mencipta impak global. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments