DALAM era dunia hiburan yang semakin dikuasai algoritma dan angka pengikut, bakat semata-mata tidak lagi mencukupi, tetapi adakah populariti semata-mata sudah memadai?
Bekas wartawan hiburan, Zulqarnain Abu Hassan, yang kini merupakan pensyarah dan penyelidik akademik di Quest International University (QIU), tampil membawa perspektif baharu yang mempertahankan nilai sebenar bakat, sambil menekankan kepentingan strategi digital yang bijak.
Melalui kertas konseptual bertajuk Balancing Fame and Talent: Rethinking Actors’ Marketability in Malaysia’s Digital Era, Zulqarnain mencadangkan pendekatan lebih adil dan berwibawa dalam menilai pelakon.
Bukan hanya berdasarkan jumlah pengikut atau kekerapan viral di media sosial, tetapi juga menerusi keaslian imej serta kemampuan sebenar dalam membawa watak.
Dalam kajian tersebut, dia menegaskan bahawa dunia hiburan Malaysia perlu melalui satu proses 'reset' dalam menentukan siapa yang benar-benar layak digelar bintang.
“Ramai pelakon hebat tapi tidak viral terus dipinggirkan. Sebaliknya, yang trending belum tentu mampu menggalas watak dengan baik. Adilkah?,” soalnya yang mengajak industri untuk menilai semula bagaimana keputusan pemilihan pelakon dibuat hari ini.
Bukan Sekadar ‘Follower’ dan ‘Like’
Kajian ini mengetengahkan bahawa pelakon masa kini tidak boleh sekadar bersandar pada rupa, populariti, atau glamor. Sebaliknya, mereka perlu bersedia menyesuaikan diri dalam landskap digital dengan kebolehan mengurus imej, membina reputasi jangka panjang, dan berinteraksi secara tulen dengan khalayak.
Zulqarnain membongkar realiti sebenar dalam penilaian pelakon masa kini |
Untuk membantu ke arah itu, Zulqarnain memperkenalkan dua alat penilaian utama iaitu Reputation Index dan Market Impact Matrix.
Reputation Index berfungsi menilai keaslian, konsistensi dan kredibiliti seseorang pelakon, memberi penekanan kepada siapa mereka di sebalik skrin, bukan sekadar bilangan pengikut.
Sementara itu, Market Impact Matrix bertindak sebagai panduan strategik kepada pengarah dan penerbit untuk memilih pelakon berdasarkan keseimbangan antara kekuatan lakonan dan impak digital yang mereka bawa.
Kajian ini juga disokong oleh teori Impression Management, yang menyorot betapa pentingnya seorang pelakon tahu mengurus imej diri tanpa perlu menggadai prinsip atau jati diri seni mereka.
Seruan Buat Industri
Zulqarnain percaya bahawa pelakon yang berjaya bukan sahaja berkesan di hadapan kamera, tetapi juga bijak memposisikan diri dalam ruang maya dengan integriti dan hala tuju yang jelas.
Sebagai penyelia Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) di QIU, Zulqarnain turut menyuarakan keperluan untuk mewujudkan sistem pemilihan pelakon yang lebih telus dan professional.
Bukan hanya untuk menjamin mutu produksi, tetapi juga memulihkan kepercayaan penonton terhadap hasil karya tempatan.
Diterbitkan dalam Journal of Social Sciences and Business, kajian ini ditujukan khas buat pengarah, penerbit, ejen bakat, dan pelakon yang sedang membina nama dalam industri hiburan Malaysia.
Di saat industri makin laju mengejar sorotan 'angka' dan trending topic, Zulqarnain mengingatkan bahawa dalam seni lakon, bukan viral yang mengangkat seseorang ke tengah 'spotlight', tapi nilai. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments