BAYANGKAN angin sepoi membawa haruman sitrus, laut biru yang membelai pandangan dan matahari Mediterranean yang menyentuh kulit dengan lembut. Selamat datang ke Turkish Riviera, permata selatan Türkiye yang begitu memikat.
Melintasi sepanjang 1,000 kilometer dari Kaş ke Alanya, laluan ini bukan sekadar perjalanan pesisir, tapi sebuah pengalaman.
Dikelilingi bukit berkabus, teluk rahsia, pantai putih bersih, tapak purba yang menakjubkan dan bandar-bandar kecil penuh karakter, Turkish Riviera menjanjikan detik-detik yang kekal dalam ingatan.
Perjalanan bermula dari Kaş, sebuah pekan tepi laut yang santai tapi punya pesona luar biasa. Jalan berbatu, rumah bercat putih dihiasi bougainvillea, dan pantai Kaputaş, tersenarai antara 40 pantai terbaik di Eropah, semuanya ibarat poskad hidup.
Nak tambah sedikit adrenalin? Kaş juga terkenal sebagai antara Top 10 diving spots di dunia. Airnya jernih, dunia bawah lautnya meriah, dan ada bangkai kapal yang tunggu untuk diteroka.
Hanya sejam dari Kaş, anda akan temui Pulau Kekova, lokasi misteri kota purba yang tenggelam. Paling indah dilihat dari kayak, dengan bayangan runtuhan kota yang tersimpan di bawah permukaan air biru kehijauan.
Satu lagi hentian bersejarah ialah Demre, kota lama Myra dan juga rumah kepada Gereja St. Nicholas. Ya, sumber inspirasi Santa Claus! Tebing-tebing di sini dihiasi makam batu Lycian yang menakjubkan.
Destinasi Ikonik, Pantai Romantis dan Api Abadi
Seterusnya, Olympos dan Çıralı di mana ia adalah satu destinasi gabungan sejarah dan alam. Pantai-pantai yang menjadi tempat bertelurnya penyu Caretta caretta, serta Chimaera (Yanartaş), api semula jadi yang menyala abadi dari celahan gunung batu.
Tidak jauh dari situ, singgahlah di Phaselis, kota pelabuhan era Rom yang kini sunyi, dikelilingi rimbunan hutan dan tiga teluk yang jernih. Untuk aktiviti laut, Kemer menawarkan scuba diving dan jet ski yang menyeronokkan.
Jangan lupa ke puncak Gunung Tahtalı dengan menaiki kereta kabel, pemandangan laut Mediterranean dari atas sana memang luar biasa.
Kaleiçi: Jantung Nostalgia Kota Antalya
Tiba di pusat bandar Antalya, langkah kaki akan membawa anda ke Kaleiçi, kota lama yang penuh pesona. Dinding batu era Roman, pintu gerbang Hadrian yang ikonik, rumah-rumah Ottoman yang dipelihara rapi. Semuanya mengundang rasa takjub.
Pelabuhan lamanya masih aktif, kini menjadi tempat untuk makan malam romantik di tepi laut. Pilih tiram segar, sotong goreng rangup, sebuah pengalaman rasa yang tak boleh dilepaskan.
Menyelusuri Jejak Purba dan Pantai Mewah
Bergerak ke arah timur, anda akan menemui permata bersejarah seperti Perge, Aspendos dan Side. Perge menawan dengan tiang-tiang marmar dan reruntuhan yang dipelihara baik. Aspendos pula punya teater Rom yang masih digunakan untuk festival dan acara budaya.
Side memikat dengan suasana pantai dan sejarah yang berpadu, terutama Kuil Apollo yang dramatik saat matahari terbenam. Pada musim panas, banyak tapak purba dibuka hingga malam melalui Museum Night Project, menjanjikan suasana magis di bawah cahaya lampu.
Akhir sekali, singgahla di Alanya, pantai berstatus Blue Flag seperti İncekum dan gua semula jadi Damlataş menjadi penutup sempurna bagi perjalanan ini.
Turkish Riviera bukan sekadar tentang laut dan sejarah, ia tentang rasa, bunyi dan momen kecil yang buat kita jatuh cinta berulang kali.
Sama ada anda cari ketenangan, pengembaraan atau inspirasi, pantai selatan Türkiye sedia menyambut anda dengan senyuman hangat Mediterranean.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments