Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Detective Kien: The Headless Horror Filem Seram No.1 Vietnam Kini di Pawagam Malaysia

Antara babak seram dalam Detective Kien: The Headless | FOTO: GSC Movies

LUPAKAN sejenak stereotaip bahawa Vietnam hanya menghasilkan drama cinta. Kini tiba giliran Detective Kien: The Headless Horror, sebuah filem thriller seram yang mencetus fenomena dan bakal menggoncang layar perak Malaysia.

Dengan kutipan luar biasa mencecah USD9.5 juta, ia kini merupakan filem seram paling laris dalam sejarah perfileman Vietnam.

Bermula 17 Julai, penonton di Malaysia boleh menyaksikan kehebatan Detective Kien: The Headless Horror di pawagam tempatan. Filem yang digelar sebagai 'Detective Dee versi Vietnam' ini membawa penonton menyelami siasatan penuh misteri dan unsur seram yang membeku darah.

Berlatar zaman Dinasti Nguyen pada abad ke-19, kisah ini mengikut perjalanan seorang penyiasat tenang dan tajam akal bernama Kien, yang dihantar ke sebuah perkampungan terpencil di pergunungan untuk menyiasat rankaian pembunuhan ngeri yang semuanya melibatkan mangsa dipenggal kepala.

Namun ketika penyiasatan berlangsung, terbongkar konspirasi istana yang mengerikan dan sumpahan purba yang membelenggu wilayah itu.

Gabungan elemen drama sejarah, misteri, horor ghaib dan politik dalaman istana menjadikan naratif filem ini sarat emosi dan mengejutkan, disokong pula oleh sinematografi yang teliti dan memukau.

Filem arahan Victor Vu, yang sebelum ini mewakili Vietnam ke Anugerah Oscar melalui Dreamy Eyes, membuktikan versatilitinya dalam genre seram. 

Vu berjaya menghidupkan semula era Dinasti Nguyen dengan penuh ketelitian, menyatukan budaya tradisional Vietnam dengan gaya penceritaan moden yang canggih.

Visual Mempesonakan

Hampir 1,000 persalinan tradisional dihasilkan secara manual untuk kesemua pelakon, dan setiap daripada mereka memakai tiga hingga lima lapis kostum setiap hari demi memastikan keaslian.

Proses solekan khas untuk babak seram pula mengambil masa sehingga enam jam setiap kali, menggunakan silikon khas yang bernilai antara VND300 juta hingga VND600 juta (RM49,000–RM98,000) untuk satu aplikasi demi memastikan kesan visual yang benar-benar realistik.

Makhluk misteri dari tasik yang menjadi teras ketakutan filem ini dilakonkan oleh Tran Ngoc Tu, seorang atlet seni mempertahankan diri dari Ho Chi Minh City yang memiliki ketinggian 2.2 meter dan berat hampir 120kg, penampilan fizikal yang benar-benar memberi impak mendalam di layar.

FOTO: GSC Movies

Detective Kien: The Headless Horror bukan sahaja mencipta sejarah sebagai filem seram paling laris di Vietnam, tetapi turut menambat hati penonton antarabangsa.

Dalam hanya lima hari tayangan, filem ini mengutip lebih USD3 juta. Hari kelapan, ia melepasi USD4.5 juta, dan menjelang hari ke-13, angka itu melonjak ke USD7.6 juta dan akhirnya mencecah lebih USD9.5 juta dalam tempoh singkat.

Lebih menarik, naskhah ini juga telah mendapat tayangan di pelbagai negara termasuk Eropah, Amerika Utara dan Asia, menjadikannya satu pencapaian besar buat industri filem Vietnam.

Kini giliran penonton Malaysia pula untuk merasai sendiri pengalaman sinematik yang mencengkam ini di layar lebar.

Detective Kien: The Headless Horror bukan sekadar filem seram biasa,  ia adalah lambang kematangan industri perfileman Vietnam yang kini berdiri setanding di pentas dunia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments