Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Naik 30kg Demi Watak: Dedikasi Shaheizy Sam dalam Filem Badak

Transformasi fizikal menakjubkan Shaheizy Sam untuk Badak

MENGUKUHKAN reputasi selepas kejayaan La Luna, pengarah M. Raihan Halim kembali dengan karya terbaharunya, Badak,  sebuah naskhah menyayat hati yang kaya dengan emosi dan visual memukau, menyelami makna kasih sayang keluarga, kuasa penyembuhan muzik, dan ikatan cinta yang sukar dilafazkan.

Filem kerjasama tiga negara iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia ini bakal menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 2 Oktober 2025, diikuti Singapura pada 16 Oktober 2025, manakala tarikh tayangan untuk pasaran Indonesia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menariknya, Badak menyatukan semula gandingan mantap antara M. Raihan Halim, Shaheizy Sam dan Wan Hanafi Su sejak kolaborasi pertama mereka menerusi La Luna dua tahun lalu.

Nadi emosi filem ini terletak pada kekuatan barisan pelakonnya, yang berjaya menghidupkan watak-watak dengan penuh jiwa dan kedalaman.

Shaheizy Sam memegang watak utama sebagai Badak iaitu seorang bapa daripada golongan pekerja yang memendam tanggungjawab hidup yang tak pernah mampu diungkapkan.

Sementara itu, Wan Hanafi Su tampil sebagai Abah, seorang ayah yang boleh mendengar tetapi bergelut seumur hidup untuk berhubung secara emosi dengan anak lelakinya yang pekak.

Pengarah M. Raihan Halim tidak menyembunyikan keyakinannya terhadap pelakon utamanya yang menghidupkan filem ini.

“Saya tak rasa saya keterlaluan bila saya kata hanya ada satu orang yang cukup disiplin dan dedikasi untuk memainkan watak Badak. Orang itu adalah Shaheizy Sam.

"Kami sangat seronok bekerja bersama dalam La Luna sampai saya tahu saya nak terus bekerjasama dalam sesuatu yang lebih mencabar dan ya, lebih menakutkan!

"Badak adalah perjalanan emosi sebenar untuk saya, dan saya gembira bukan saja ada Sam, tetapi juga Aida, Kahoe dan satu-satunya Ayah Wan untuk sama-sama melalui pengalaman ini,” katanya.

Sam Tambah Berat 30kg

Dedikasi Shaheizy Sam terhadap watak ini turut terserlah menerusi transformasi fizikalnya yang luar biasa. Demi menjayakan karakter Badak, dia menambah hampir 30kg dalam masa lima bulan dengan mengikuti diet tinggi gula, tinggi lemak dan makanan segera.

Produksi turut mengambil masa tambahan selama enam bulan untuk membolehkan Sam kembali ke bentuk fizikal asal bagi babak-babak seterusnya.




Menurut Sam, dia berpuas hati apabila ini kali pertama dia dapat membawa dua bentuk fizikal yang berbeza dalam satu filem.

“Saya percaya ini akan mengalihkan perhatian penonton daripada 'saya yang biasa', menjadikan watak ini terasa segar. Ia benar-benar menaikkan keyakinan diri saya, membuktikan bahawa semangat saya dalam dunia lakonan masih menyala selepas 30 tahun,” katanya.

Turut membintangi filem ini ialah Aida Amron sebagai Mirah, anak perempuan ceria yang kemunculannya sebagai bintang hip-hop menguji ikatan kekeluargaan mereka, dan Kahoe Hon sebagai Jay, seorang DJ dari dunia hip-hop bawah tanah.


Badak mengisahkan perjalanan hidup seorang bapa tunggal yang pekak, Badak, yang membesarkan anaknya Mirah dalam dunia kecil yang penuh kasih, senyap tetapi sarat makna. Mereka membina dunia sendiri melalui bahasa isyarat, ekspresi wajah dan cinta tanpa syarat.

Namun apabila Mirah mencipta nama dalam dunia muzik arus perdana, keseimbangan hidup mereka mula teruji. Perlanggaran dua dunia iaitu sunyi dan bising mula mencipta jarak, bukan sahaja secara bunyi tetapi juga secara rohani.

Melalui sentuhan penceritaan penuh belas dan kontras yang mendalam, M. Raihan Halim membawa penonton menyelami ketabahan seorang bapa dalam menghadapi perubahan yang tidak dapat dikawal dalam dunia yang penuh ekspresi dan irama.

Badak menjanjikan pengalaman sinematik yang penuh emosi, meraikan kekuatan cinta keluarga, kejaran impian dan kasih yang tidak perlu bersuara untuk difahami.

Filem ini diterbitkan oleh Clover Films, Golden Screen Cinemas dan Papahan Films, dengan kerjasama Sinemart Indonesia, Juita Viden, One Tree Holdings, ACT 2 Pictures dan Dropkick.

Ia turut menerima sokongan daripada Singapore Film Commission dan Infocomm Media Development Authority (IMDA) menerusi program Media Talent Progression Programme (Go Global).

Badak bukan sekadar kisah seorang bapa dan anak tetapi ia adalah naskhah penuh jiwa tentang kehilangan, harapan, dan cinta yang tak pernah putus.

Dalam dunia sunyi tanpa suara, filem ini berbicara dengan rasa. Mulai 2 Oktober, jangan lepaskan peluang rasai pengalaman sinematik yang menyentuh hati ini di pawagam seluruh negara. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments