Hot Posts

6/recent/ticker-posts

EVOLUSI PELBAGAI MASAKAN DALAM MAKANPEDIA


TRADISI mencorak masakan dan hidangan menggambarkan budaya. Di sebalik setiap makanan terselindung sejarah yang berbeza. Setiap makanan hari ini berevolusi dari sentuhan dahulu kala. Jika makanan diberi penghayatan, ia boleh mengajar kita nilai kehidupan.

Terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi program majalah masakan Makanpedia yang membawa penonton ke pelbagai destinasi dan memperkenalkan kepelbagaian gastronomi yang wujud di Malaysia.

Menerusi 13 episod siarannya yang telah pun bermula 4 Januari lalu, setiap Selasa, pukul 10 pagi di TV Okey, program ini merungkai sejarah dan evolusi pelbagai masakan, bermula daripada penyediaan tradisi sehingga ke hidangan trendy dan eksklusif.

Istimewa pastinya hos Tash Yong akan memperkenalkan beraneka gaya masakan dan juadah hidangan di rumah, jalanan, kafe dan restoran pelbagai bintang. 13 jenis selera dikongsikan termasuklah berasaskan daripada bahan asas iaitu tomato, mi, pisang, makanan laut, kacang, kelapa, beras, jagung, ais, roti, kentang, kopi, dan daging.

Apa menu yang dapat dihasilkan daripada tomato? Antaranya nasi tomato, rasam tomato, tomato panggang keju, pizza tomato dan sup tomato. Sementara itu menu berasaskan daripada mi pula menghasilkan resipi lazat mi tarik, mi goreng mamak, ramen mi segera, mi bandung, laksa asam dan pasta.

Tidak kurang menariknya juga perkongsian resipi berasaskan daripada pisang (goreng pisang, kerabu jantung pisang, kerepek, pengat pisang smoothie dan kek), makanan laut (ikan bakar. Sashimi, telur belangkas, rumpai laut, lobster dan ketam), kacang (bubur kacang hijau, kacang putih, kacang rebus, pau kacang merah, Tang Yuan, air kacang soya & tau fu fah dan kacang butter).

Ikuti juga episod memaparkan menu dihasilkan berasaskan beras (nasi putih, bubur nasi, kerak nasi goreng, nian-gao, lemang, nasi beriani, idli dan risotto), roti (roti canai, roti john, croissant, roti naan, pizza margherita dan tortilla), kentang (karipap, pergedil, thosai masala, Cottage Pie (& Shepherd Pie), kentang lenyek dan kentang goreng), juga kopi (kopi o & white coffee, rotiboy/roti kopi, espresso & cappuccino, biskut kopi/coffee cookies, kopi luwak, dan tiramisu).

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

0 Comments