15 Jan 2022

9,000 DOS SETIAP HARI - PPV WTCKL KEMBALI DIBUKA



PUSAT Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) kembali menjadi Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV) bagi melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) atau lebih dikenali sebagai PICK-B selaras dengan visi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempercepatkan serta mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin dos ketiga. 

Ketua Pegawai Operasi WTCKL, Fauzy Wahab, berkata

“Waktu operasi kami bermula dari jam 8.30 pagi hingga 9 malam setiap hari  dari 15 Januari hingga 15 Mac 2022. Sebanyak 9,000 dos vaksin AstraZeneca akan disediakan di sini untuk orang ramai setiap hari. Terdapat tiga penganjur penjagaan kesihatan (HCO) yang terlibat dalam program vaksinasi mega di sini iaitu BookDoc, BP Healthcare dan U.N.I Klinik,” ujarnya.



Temu janji vaksinasi akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana walk-in tidak lagi dibenarkan, seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, semasa sidang media pada 6 Januari 2022 lepas.

Penerima vaksin dinasihatkan membawa pen sendiri untuk mengisi borang kebenaran sebagai usaha bersama untuk meminimumkan sentuhan fizikal melalui perkongsian pen di pusat vaksinasi serta membantu mengurangkan penularan wabak Covid-19.

“Laluan Khas disediakan di PPV WTCKL untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas. Kita juga menyediakan 'Calm Room' untuk penghidap Gangguan Spektrum Autisme, Kecelaruan Keresahan (Anxiety Disorder) dan Serangan Panik (Panic Attack) serta bilik perubatan khas untuk sebarang kes kecemasan di PPV Mega WTCKL,” tambah Fauzy.



Kaunter HELPDESK juga disediakan di sebelah pintu masuk utama WTCKL berhampiran CIMB Bank yang bakal menawarkan bantuan segera kepada orang ramai yang mempunyai sebarang isu berkaitan temujanji vaksin atau hal-hal berkaitan MySejahtera. Selain itu, KKM juga bercadang untuk membuka pusat panggilan di PPV Mega WTCKL bagi menjawab sebarang pertanyaan berkaitan vaksin. Walau bagaimanapun, ianya masih belum diputuskan oleh pihak kementerian.


Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim pula berkata,

“Pewujudan semula WTCKL sebagai PPV Mega adalah salah satu cara kami menyumbang semula kepada rakyat dan negara. Kami sentiasa bersedia untuk membantu semula seperti yang telah kami lakukan sebelum ini semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang berjaya memberikan 1.3 juta dos vaksin AstraZeneca kepada 645,000 orang seterusnya menjadikan kami PPV Mega dengan jumlah dos suntikan terbanyak diberikan di negara ini.” katanya.



Sebagai sebuah pusat konvensyen yang sangat konsisten dan berdedikasi untuk menyumbang semula kepada komuniti, kami sangat komited menawarkan standard perkhidmatan tertinggi dalam usaha untuk melawan penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini, WTCKL telah berjaya berkhidmat sebagai salah satu PPV Mega semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada Mei hingga Oktober 2021.

“Walaupun kali ini PPV Mega WTCKL hanya menampung 9,000 dos setiap hari, namun pusat konvensyen kami boleh menampung sehingga 18,000 penerima vaksin setiap hari, seperti mana yang kita lakukan sebelum ini. Malah, kami sentiasa bersedia untuk meningkatkan kapasiti yang lebih besar dari ini sekiranya kerajaan mahu berbuat demikian,” tambah Irmohizam.



[KREDIT: WTCKL]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan