TV AlHijrah terus menyalakan semangat inspirasi rakyat dengan tayangan episod kedua Projek Bangkit pada 25 Oktober lalu yang memperlihatkan kisah tiga usahawan asnaf bangkit dengan semangat luar biasa, berpaksikan bimbingan, ilmu dan keyakinan diri.
Sejak bersiaran minggu lalu, Projek Bangkit berjaya menarik perhatian penonton dengan kisah benar perjuangan usahawan kecil dari seluruh Malaysia yang tidak pernah berhenti berusaha, walau diuji cabaran ekonomi dan kekangan modal.
Lebih daripada sekadar program realiti, rancangan ini menjadi wadah untuk memperkukuh daya tahan ekonomi umat melalui keusahawanan berasaskan nilai Islam dengan mesej utama bahawa setiap usaha yang ikhlas pasti membuka jalan rezeki.
Selepas kejayaan episod sulung yang memihak kepada usahawan penjagaan rambut, Haziq Haime, episod kedua tampil lebih mencabar.
Kali ini, tiga peserta hebat iaitu Mohd Asib Ismail Gany (Burger Asib), Kharudin Harun (Kraftangan Kayu) dan Nurul Asyikin Mohammad (Premium Cookies) tampil menunjukkan keunikan masing-masing dalam dunia perniagaan.
Barisan juri yang menilai perjalanan mereka terdiri daripada Datuk Rosyam Nor, Ajak Shiro dan Talmizi Md Nor, wakil usahawan berjaya dari MAIWP. Sementara itu, Amin Idris bertindak sebagai hos yang menyatukan semangat dan inspirasi sepanjang rancangan berlangsung.
Momen Kebangkitan dan Inspirasi Sejati
Episod kali ini menutup tirai dengan kemenangan milik Nurul Asyikin Mohammad, yang berjaya menonjolkan strategi pemasaran mantap dan kreativiti luar biasa dalam memperkenalkan produk Cocokins.
Usahanya membuktikan bahawa idea yang baik, apabila digilap dengan bimbingan dan keyakinan, mampu berkembang ke pasaran lebih luas.
Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, episod kedua ini menjadi bukti bahawa keikhlasan dan kesungguhan mampu menukar kelemahan menjadi kekuatan baharu.
“Setiap peserta membawa kisah perjuangan berbeza, tetapi semuanya membuktikan bahawa ilmu, peluang dan semangat mampu membuka jalan keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Tambah Zulkarnaen, Projek Bangkit bukan sekadar membuka ruang kepada peserta untuk membina perniagaan, tetapi juga menjadi platform membentuk jati diri dan mentaliti berdikari.
“Kami mahu peserta keluar dari zon selesa. Bila mereka belajar merancang, berkomunikasi dan memasarkan produk sendiri, di situlah bermulanya kebangkitan sebenar,” jelasnya.
Disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam di TV AlHijrah, Projek Bangkit merupakan inisiatif strategik antara MAIWP dan TV AlHijrah bagi memperkasa komuniti asnaf melalui pendekatan realiti TV yang membimbing peserta secara praktikal daripada latihan asas perniagaan hingga cabaran dunia sebenar.
Episod kedua bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada peserta, tetapi juga kepada penonton yang menyaksikannya. Ia mengingatkan kita bahawa setiap manusia berhak untuk bermula semula asalkan ada usaha, bimbingan dan kepercayaan bahawa rezeki datang bersama niat yang baik.
Bagi yang terlepas tayangan, episod penuh Projek Bangkit boleh ditonton semula melalui YouTube TV AlHijrah dan aplikasi AlHijrah Plus. Sorotan menarik serta perkembangan peserta juga dikongsi di platform media sosial rasmi TV AlHijrah.
Projek Bangkit bukan sekadar rancangan televisyen tetapi ia sebuah gerakan perubahan. Program ini membuka mata masyarakat bahawa golongan asnaf bukan simbol kelemahan, tetapi pejuang yang sedang berusaha keras untuk berdiri teguh di atas kaki sendiri. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments