Oleh: AILEEN ADAM
SUASANA di Bangkok kini diselubungi duka susulan kemangkatan Ratu Sirikit, ibu kepada Raja Maha Vajiralongkorn, yang menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu.
Namun begitu, konsert jelajah dunia BLACKPINK <Deadline> di Stadium Nasional Rajamangala tetap diteruskan seperti yang dijadualkan.
Live Nation Thailand selaku penganjur mengesahkan bahawa dua persembahan terakhir siri konsert tersebut iaitu pada malam ini dan esok akan berjalan seperti biasa.
Pengumuman ini sekali gus menamatkan spekulasi awal tentang kemungkinan penangguhan konsert berikutan tempoh berkabung rasmi yang sedang berlangsung di Thailand.
Walaupun konsert diteruskan, para peminat diseru untuk hadir dengan pakaian hitam dan putih sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Ratu Sirikit dan satu simbol kesopanan serta empati yang amat dihargai dalam budaya Thai.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menegaskan bahawa konsert berkenaan boleh diteruskan, namun dengan cara yang sopan.
“Kami menghormati duka cita rakyat, tetapi acara ini boleh diteruskan dengan penuh tertib,” katanya kepada media tempatan.
Kehadiran mereka bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata, malah turut menjadi pemangkin kepada ekonomi hiburan tempatan yang kembali rancak selepas beberapa tahun suram.
Siri jelajah dunia BLACKPINK <Deadline> ini bermula pada 5 Julai lalu di Stadium Goyang, Korea Selatan dan dijangka menutup tirainya pada 26 Januari tahun depan.
Di sebalik suasana berkabung, pentas Bangkok menjadi saksi bagaimana muzik mampu menjadi ruang kecil untuk rakyat terus bernafas, menghormati, dan meraikan kehidupan dalam satu masa yang sama. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments