Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tame Impala Kembali Dengan Album Baharu ‘Deadbeat’: Eksperimen Bunyi & Evolusi Kevin Parker


TAME Impala, atau nama sebenar di sebalik projek ini Kevin Parker, kembali dengan album penuh kelima berjudul Deadbeat di bawah label Columbia Records.

Album yang sudah lama dinanti ini menandakan satu fasa baharu dalam perjalanan muzik Parker, memperlihatkan sisi lebih mentah, spontan, dan eksperimental berbanding karya sebelumnya.

Sebelum pelancaran rasmi, Parker terlebih dahulu menggoda peminat dengan tiga single iaitu Loser, End of Summer, dan Dracula yang semuanya berjaya menembusi carta Billboard Hot 100 dan terus mencipta rekod debut tertinggi dalam kategori AAA serta Alternative.

Bersempena pelancaran album ini, Tame Impala turut melancarkan muzik video (MV) untuk lagu pembuka, My Old Ways, arahan Kristofski. MV itu menampilkan rakaman gaya cinéma vérité yang dirakam sendiri oleh pengarah tersebut sepanjang proses pembikinan album di pelbagai lokasi seluruh dunia, menjadikan ia seperti diari visual perjalanan kreatif Parker.

Album Deadbeat membawa pendengar meneroka sisi baru Tame Impala dengan gabungan bunyi club-psych yang berani, diselitkan melodi halus dan lirik introspektif yang begitu mudah melekat di kepala.

Inspirasi album ini banyak datang daripada budaya 'bush doof', pesta rave bawah tanah yang terkenal di Australia, khususnya di sekitar kawasan Margaret River, Western Australia pada era 90-an.

Parker mengambil semangat bebas dan mentah budaya itu lalu menyalurkannya ke dalam Deadbeat, menjadikan Tame Impala seolah-olah berevolusi menjadi versi 'future primitive rave act', menggabungkan dunia elektronik dan rock dalam satu perjalanan sonik yang memukau.

Dalam temubual cover story bersama GQ Hype, pengkritik muzik Grayson Haver Currin menggambarkan Parker sebagai “antara pemuzik rock yang paling berjaya menyeimbangkan pelbagai dunia muzik sepanjang 15 tahun terakhir.”

Album ini mengandungi 12 trek yang terdiri daripada My Old Ways, No Reply, Dracula, Loser, Oblivion, Not My World, Piece of Heaven, Obsolete, Ethereal Connection, See You On Monday (You’re Lost), Afterthought dan End of Summer.

Eksperimen Bunyi, Identiti Baharu

Setiap satu menonjolkan kepekaan baru Parker terhadap minimalisme, dengan lapisan bunyi yang lebih tajam dan raw, disertai vokal yang kedengaran lebih berani dan playful daripada sebelumnya.

Proses rakaman dilakukan di pelbagai lokasi, namun sebahagian besar inspirasi lahir di antara Fremantle, tempat asal Parker, dan Wave House Studio di Injidup, Australia Barat iaitu tempat dia mencipta bunyi yang kini dianggap antara paling unik dalam landskap muzik moden.

Sebagai seorang seniman, Kevin Parker bukan sekadar penyanyi, tetapi arkitek bunyi yang mencipta, menulis, merakam, mencampur dan menghasilkan semua lagunya sendiri. Namanya kini diiktiraf sebagai antara suara paling berpengaruh dalam dekad terakhir.

Dengan empat pencalonan dan satu kemenangan GRAMMY melalui kolaborasi bersama Justice untuk lagu Neverender pada 2024, Parker turut memenangi 13 Anugerah ARIA di Australia daripada 27 pencalonan.

Di peringkat antarabangsa, dia pernah meraih BRIT Award untuk Best International Band, serta beberapa pencalonan di Billboard Music Awards dan American Music Awards.

Sebagai Tame Impala, dia telah mencatatkan beberapa lagu Top 10 di carta radio US Alternative, termasuk dua lagu nombor satu, Lost In Yesterday dan Is It True. Lagu lagenda The Less I Know The Better kini melepasi 2 bilion strim global, sekali gus menempatkannya dalam Billions Club Spotify.


Sebelum Deadbeat, Parker telah mengeluarkan empat album penuh iaitu InnerSpeaker, Lonerism, Currents dan The Slow Rush.

Album terakhir itu bukan sahaja menduduki tangga pertama di pelbagai negara, malah menjadi album Tame Impala paling berjaya di carta US dan UK dengan 14 kedudukan Top 10 di seluruh dunia.

Selain kerjaya solonya, Parker juga dikenali sebagai kolaborator prolifik, pernah bekerjasama dengan nama besar seperti Dua Lipa, The Weeknd, SZA, Lady Gaga, Travis Scott, Mark Ronson, Gorillaz, Thundercat, Kali Uchis, 070 Shake, Rihanna, Miguel, A$AP Rocky dan ramai lagi.

Kini dengan Deadbeat, Tame Impala menutup satu dekad penuh evolusi dan membuka lembaran baharu yang lebih jujur, eksperimental dan emosional. Ia bukan sekadar album kelima, tapi refleksi seorang seniman yang akhirnya berdamai dengan dirinya sendiri, di antara kesunyian dan kebebasan yang dia cipta. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments