“Tak Boleh Pergi Dulu” — Anak Kembar Dan Ibu Jadi Kekuatan Adzrin Adzhar


BAGI seorang ibu, membayangkan kehidupan tanpa dirinya di sisi anak-anak bukanlah perkara yang mudah. Apatah lagi apabila mereka masih kecil dan memerlukan perhatian, kasih sayang serta bimbingan untuk membesar.

Fikiran tentang masa depan yang belum pasti boleh membuatkan setiap detik bersama insan tersayang terasa lebih bermakna.

Perasaan itulah yang turut bermain dalam fikiran penyanyi dan jurulatih vokal, Adzrin Adzhar, ketika berdepan kanser yang kembali dikesan selepas sedekad.

Selepas didiagnosis menghidap kanser ovari pada 2015, Adzrin sekali lagi berdepan ujian pada 2025 apabila kanser itu kembali dikesan, kali ini turut melibatkan hati dan payudara sebelah kanan.

Namun, perkara yang paling meruntun hatinya bukan sekadar perjuangan melawan penyakit, tetapi kemungkinan terpaksa meninggalkan dua anak kembarnya yang kini berusia sembilan tahun serta ibunya.

Ketika ditemui pada acara Nivea Moments of Care 2026 baru-baru ini, Adzrin berkongsi bagaimana pemikiran itu mempengaruhi caranya menjalani kehidupan, termasuk ketika berdepan kerenah anak-anak.

Penyanyi berusia 41 tahun itu mengakui ada kalanya terfikir bahawa hari yang dilaluinya mungkin menjadi hari terakhir. Kesedaran tersebut membuatkannya lebih berhati-hati dalam mengawal emosi sebagai seorang ibu.

“Sampai satu tahap saya rasa, mungkin hari ini adalah hari terakhir saya hidup. Kalau saya marah anak pun, saya selalu diam dulu dan fikir, aku perlu marah ke tidak?” ujarnya.
Bagi Adzrin, dia tidak mahu bertindak mengikut emosi semata-mata, terutama ketika berdepan situasi yang menguji kesabaran. Dia memilih untuk berhenti seketika dan mempertimbangkan tindakannya sebelum menegur anak-anak, agar tidak menyesali waktu yang diluangkan bersama mereka.



Persoalan yang lebih berat muncul apabila dia memikirkan siapa yang akan menjaga anak-anaknya sekiranya dia tiada lagi.

“Kalau saya tak ada, siapa nak tengok dan jaga mereka?” luahnya penuh emosi.

Walaupun percaya dan yakin Tuhan mempunyai aturan tersendiri untuk masa depan anak-anaknya, sebagai seorang ibu, Adzrin mahu terus menyaksikan mereka membesar.

Pada masa sama, dia turut memikirkan perasaan ibunya sekiranya wanita itu terpaksa kehilangan anak sendiri terlebih dahulu. Membayangkan kesedihan seorang ibu yang kehilangan anak membuatkan Adzrin sukar menerima kemungkinan tersebut.

“Sebagai seorang ibu, saya tak boleh bayangkan kalau anak saya pergi dulu. Jadi saya terfikir, bagaimana pula perasaan ibu saya jika saya pergi dulu?” katanya.

Emosinya jelas terasa ketika berkongsi perkara itu. Di sebalik usaha untuk terus kuat, Adzrin masih seorang anak yang mahu menjaga hati ibunya, selain seorang ibu yang ingin terus berada di sisi anak-anaknya.

Oleh sebab itulah, selagi masih mempunyai peluang untuk berusaha, dia mahu terus melawan.

“Perkara ini yang membuatkan saya rasa tak boleh pergi dulu, melainkan memang Allah tetapkan. Namun selagi ada peluang, saya akan usahakan untuk terus berjuang,” tegasnya.

Belajar Menerima Tanpa Berhenti Berjuang

Momen ketika menerima diagnosis pertama pada 2015 masih segar dalam ingatan Adzrin. Selepas beberapa kali membuat pemeriksaan kesihatan susulan perubahan pada tubuhnya, doktor akhirnya memaklumkan bahawa dia menghidap kanser ovari.

Ketika itu, Adzrin mengambil masa kira-kira 90 minit di dalam kereta untuk menenangkan dirinya, sebelum mengumpul kekuatan untuk memberitahu ibunya.

“Ma, doktor kata adik ada kanser,” imbasnya.

Ibunya menangis mendengar berita tersebut. Namun Adzrin tetap tenang dan meminta ibunya menghadapi ujian berkenaan bersama-sama.

Pengalaman tersebut menjadi antara kekuatan yang dibawanya ketika berdepan ujian kesihatan sekali lagi. Walaupun perjalanan kali ini tidak mudah, dia berusaha menjaga diri sebaik mungkin mengikut kemampuannya.

Kehilangan selera makan membuatkan Adzrin menetapkan peringatan pada telefon supaya tidak terlupa makan. Dia turut berusaha melakukan senaman serta menjaga emosi dengan menjauhkan diri daripada perkara yang membebankan fikiran.

Pegangan agama pastinya menjadi sumber kekuatan utama Adzrin ketika belajar menerima keadaan. Baginya, berserah kepada ketentuan Tuhan tidak bermakna berhenti berusaha.

Justeru, dia mengingatkan orang ramai supaya peka terhadap perubahan tubuh dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan apabila perlu, berdasarkan pengalamannya sendiri melalui perjalanan melawan kanser.

Di sebalik segala usaha itu, harapan Adzrin tetap sederhana. Dia mahu terus hidup dan diberikan lebih banyak waktu bersama anak-anak serta ibunya.

Tiada siapa yang mengetahui apa yang menanti di hadapan. Namun, selagi masih ada peluang, Adzrin memilih untuk terus berjuang demi insan yang paling ingin terus didampinginya. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:


Post a Comment

0 Comments