Bintang 'Star Trek' dan 'X-Men', Patrick Stewart meninggal dunia


DUNIA hiburan antarabangsa kehilangan seorang lagi figura berpengaruh apabila pelakon legenda Britain, Sir Patrick Stewart, meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Namanya cukup sinonim dengan dua francais popular, Star Trek dan X-Men, yang memperkenalkan bakat lakonannya kepada generasi penonton di seluruh dunia.

Stewart menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat, pada 28 Oktober lalu. Pemergiannya disahkan menerusi kenyataan wakilnya yang dikongsikan di akaun media sosial rasmi pelakon berkenaan.

Menurut kenyataan tersebut, Stewart meninggal dunia selepas melalui tempoh singkat berdepan penyakit Alzheimer dan Lewy Body Dementia. Mendiang berada dalam jagaan penuh kasih isterinya, Sunny Ozell, serta dikelilingi keluarga dan insan terdekat.

"Kami dengan penuh dukacita mengumumkan pemergian Sir Patrick Stewart semalam di kediamannya di Los Angeles, dalam jagaan penuh kasih isterinya, Sunny, selepas melalui perjalanan singkat tetapi bermakna melawan penyakit Alzheimer dan Lewy Body Dementia," menurut kenyataan itu.

Dari Pentas Shakespeare Ke Dunia Sains Fiksyen

Dilahirkan pada 13 Julai 1940 di Mirfield, Yorkshire, England, Stewart mula menceburi bidang lakonan ketika berusia 18 tahun. Sebelum dikenali menerusi layar perak dan televisyen, mendiang terlebih dahulu membina reputasi sebagai pelakon teater, termasuk menganggotai Royal Shakespeare Company sejak 1960-an.

Pengalaman mendalami karya-karya Shakespeare membentuk asas lakonannya sebelum namanya mula dikenali di peringkat antarabangsa menerusi watak Kapten Jean-Luc Picard dalam siri Star Trek: The Next Generation pada 1987.

Ketika itu, Stewart berusia 47 tahun dan pemilihan tersebut menjadi titik penting yang membawa kerjayanya ke tahap lebih luas. Watak kapten kapal angkasa USS Enterprise itu kemudian terus dibawanya dalam beberapa filem francais berkenaan serta siri susulan Star Trek: Picard.

Mendiang turut mencipta satu lagi watak ikonik menerusi francais filem X-Men sebagai Professor Charles Xavier, pemimpin kumpulan mutan yang dikenali dengan kebijaksanaan dan keupayaan telepati. Lakonan tersebut menjadikan Steward antara wajah penting dalam genre adiwira, selain memperlihatkan kemampuannya menghidupkan karakter yang berbeza daripada dunia sains fiksyen.

Sumbangannya dalam bidang seni turut mendapat pengiktirafan apabila mendiang menerima gelaran kesatria pada 2010 atas jasa terhadap dunia drama.

Sepanjang lebih enam dekad berkarya, Stewart berjaya merentasi pentas teater, televisyen dan filem, sekali gus meninggalkan legasi yang melangkaui satu-satu watak.

Dalam kehidupan peribadi, Stewart pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan dua cahaya mata. Perkahwinan ketiganya bersama penyanyi dan pemuzik Amerika Syarikat, Sunny Ozell, berlangsung pada 2013.

Pemergian Stewart meninggalkan kesan besar kepada peminat serta rakan seperjuangan dalam industri. Namun, watak Jean-Luc Picard dan Professor Charles Xavier yang pernah dibawakannya akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah filem dan televisyen antarabangsa. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments