MUZIK sering menjadi elemen penting dalam mencipta suasana ketika berkumpul bersama keluarga atau rakan-rakan.
Namun, pengalaman mendengar lagu kegemaran bukan hanya bergantung pada pilihan muzik, malah turut dipengaruhi kualiti bunyi, pencahayaan dan kemudahan peralatan yang digunakan.
Seiring perkembangan teknologi audio, speaker mudah alih kini hadir dengan pelbagai ciri yang membolehkan muzik dinikmati dalam suasana berbeza, sama ada di dalam rumah mahupun ketika melakukan aktiviti di luar.
Reka bentuk mudah dibawa, ketahanan bateri dan keupayaan menghasilkan bunyi yang menyeluruh antara aspek yang semakin diberi perhatian.
Antara model yang menggabungkan ciri tersebut ialah Bromley 150 daripada Marshall, yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada 26 Oktober lalu.
Hadir dengan saiz lebih kompak berbanding model Bromley 450 dan 750, speaker parti ini mengekalkan identiti reka bentuk Marshall sambil menawarkan kemudahan untuk dibawa ke pelbagai lokasi.
Gabungan Audio, Pencahayaan dan Ciri Praktikal
Dari sudut audio, Bromley 150 menggunakan teknologi True Stereophonic 360° yang diinspirasikan daripada teknik awal rakaman stereo.
Menerusi reka bentuk akustik berpaten Marshall, bunyi disebarkan melalui speaker di bahagian hadapan dan belakang bagi mengekalkan kedalaman serta perincian audio dari pelbagai sudut. Hasilnya, gabungan nada pertengahan yang kaya, nada tinggi yang jelas dan bes mendalam dapat dinikmati secara lebih sekata.
Pengalaman mendengar muzik turut dilengkapi pencahayaan terbina dalam di sebalik gril hadapan, yang mengambil inspirasi daripada sistem lampu persembahan langsung.
Terdapat tiga tetapan pencahayaan untuk dipilih, daripada cahaya lembut hingga paparan lebih terang yang bergerak mengikut rentak muzik.
Menurut Pereka Perindustrian Kanan Marshall Group, Emma Rydahl, saiz lebih kompak tidak bermakna aspek prestasi dan mutu pembuatan diketepikan. Panel kawalan dialihkan ke bahagian sisi, manakala butang dan tombol fizikal dikekalkan bagi memudahkan pengguna membuat pelarasan.
Dari segi penggunaan, speaker ini menawarkan lebih 40 jam masa main balik dengan sekali cas. Baterinya boleh diganti, sementara dua input khusus untuk mikrofon dan alat muzik membolehkan pengguna mengadakan sesi karaoke atau persembahan spontan bersama muzik pilihan.
Aspek ketahanan turut diberi perhatian menerusi penarafan IP55 yang melindungi speaker daripada habuk, kotoran dan percikan air. Badannya menggunakan kayu bersijil FSC 100 peratus (%) dengan kemasan kulit PU, manakala pelindung bucu diperbuat daripada TPU lembut. Pemegang terbina di bahagian atas pula memudahkan speaker diangkat dan dibawa.
Menariknya, beberapa komponen seperti gril hadapan, tombol, pemegang, penutup bateri dan pelindung bucu boleh diganti. Ciri ini membolehkan bahagian tertentu diselenggara atau ditukar apabila perlu, sekali gus memanjangkan jangka hayat penggunaannya.
Secara keseluruhan, gabungan teknologi audio, pencahayaan dan reka bentuk praktikal memperlihatkan bagaimana speaker parti mudah alih kini bukan sekadar alat memainkan muzik, tetapi turut mengambil kira pengalaman pengguna ketika berkongsi suasana bersama orang sekeliling.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments