Evertts Gomes Ada Impian Lebih Besar Selepas 'Kudrat 1968: High Council'


POPULARITI siri Kudrat 1968: High Council mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan penonton, bukan sahaja menerusi jalan cerita dan watak-wataknya, malah barisan pelakon yang turut menjadi bualan hangat.

Keterujaan itu kini berlanjutan ke layar perak apabila naskhah dengan judul sama bakal menemui penonton pada 29 Oktober ini.

Salah seorang bintang utamanya, Evertts Gomes, yang menghidupkan watak Tunku Ghafar, turut mencuri perhatian ramai. Lakonannya menerima pelbagai reaksi daripada penonton.

“Sebenarnya saya gembira dan puas hati sebab kebanyakan komen dan respons daripada peminat adalah positif. Walaupun ada juga yang negatif, saya berlapang dada menerima,” katanya.

Pelakon muda sedang meningkat naik itu mengakui ada kalanya turut membaca komen di media sosial, termasuk dakwaan mengatakan dirinya mendapat bayaran mudah kerana lakonannya yang tidak banyak dialog berbanding pelakon lain.

“Itu hanya satu pendapat. Setiap manusia boleh bagi pendapat sendiri. Saya pilih untuk abaikan benda-benda negatif. Namun perkara itu ada kala boleh dijadikan motivasi untuk saya buat lebih baik dalam projek seterusnya,” jelasnya langusng tidak berkecil hati.

Bimbang Disalah Erti

Di sebalik perhatian yang diterima, pemilik nama sebenar Evertts McClane Gomes itu mengakui dirinya seorang introvert dan pemalu apabila berdepan orang ramai.

Namun itu tidak bermakna dia keberatan untuk didekati. Sebaliknya, bintang berusia 28 tahun itu mengalu-alukan peminat yang ingin menyapanya apabila terserempak di luar.

“Kalau peminat nak dekati saya di luar, jangan segan. Datang sahaja dan tegur. Saya malu-malu sebab saya memang seorang introvert terutama dengan orang yang tak dikenali.

"Namun kalau kena dengan mood saya yang mungkin 'kacip' ketika itu, anda akan beruntung,” katanya berseloroh.


Mengulas tentang filem Kudrat 1968: High Council, Evertts turut memberi bayangan bahawa naskhah itu bakal menjawab persoalan yang timbul sepanjang empat episod siri berkenaan. Malah, kejutan yang menanti penonton dikatakan bukan sekadar pendedahan biasa.

“Saya rasa perkara paling jelas yang peminat boleh jangkakan ialah jawapan kepada semua soalan mereka dari episod satu hingga empat. Filem ini tempat semua jawapan itu akan diberikan.

“Peminat boleh jangkakan satu kejutan besar. Plot twist Kudrat ini macam ada satu lagi plot twist di sebalik plot twist. Kena bersedia,” katanya.

Harapannya terhadap filem itu seiring dengan cita-cita untuk terus berkembang sebagai pelakon.

Bagi Evertts, populariti yang hadir menerusi sesebuah projek hanyalah sebahagian daripada perjalanan seni.

Memasuki 2027, dia berharap dapat terus menghasilkan karya, meneroka watak baharu dan memperbaiki mutu lakonan, sambil mengekalkan hubungan baik dengan peminat yang menyokong perjalanan kerjayanya.

Bekas peserta Hero Remaja 2023 yang menjadikan menjadikan Bront Palarae sebagai sumber inspirasi itu mahu membina kerjaya yang tidak terhad kepada satu watak, sebaliknya membuka ruang untuk mencuba lebih banyak peluang serta cabaran lakonan.

“Sasaran saya cuma nak hasilkan lebih banyak karya dan lakonan. Saya nak hiburkan peminat sebab saya gembira apabila tengok mereka suka dengan lakonan saya,” ujarnya ketika ditemui pada pelancaran butik Cabbeen di IOI City Mall Putrajaya baru-baru ini. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:


Post a Comment

0 Comments