Siapa Bunuh Chef Rahman? Teater Muzikal Tomyam Berdarah Ajak Penonton Bongkar Misteri


SEBUAH dapur restoran yang pada awalnya kelihatan biasa, akhirnya bertukar menjadi lokasi jenayah apabila seorang cef ditemui mati di dalam periuk tomyam warisannya sendiri.

Namun, di sebalik misteri kematian itu, tersimpan kisah tentang kuasa, dendam, tekanan di tempat kerja dan impian yang digaul bersama dunia kulinari.

Itulah yang cuba diterokai menerusi Teater Muzikal Tomyam Berdarah, sebuah pementasan muzikal interaktif bergenre satira jenayah yang menggabungkan elemen komedi gelap, siasatan dramatik serta naratif makanan tempatan.

Diarahkan oleh Aloeng Silalahi yang turut bertindak sebagai penulis skrip, naskhah ini membawa penonton menyelami sebuah restoran yang sedang membuat persiapan untuk menyertai pertandingan Master Chef Universe.

Segalanya berubah apabila dapur itu bertukar menjadi lokasi jenayah, dengan setiap pekerja tampil sebagai suspek yang mempunyai motif dan rahsia tersendiri.

Aloeng yang dikenali sebagai penggiat teater menerusi karya-karya eksperimental dan berani, menyifatkan Muzikal Tomyam Berdarah sebagai naskhah baharu dalam siri pementasan jenayah interaktif.

“Dicipta dengan gabungan naratif satira, struktur muzikal dan pendekatan site-responsive, pementasan ini merentas tema kuasa, warisan, isu toksik di tempat kerja dan nilai kemanusiaan yang terpendam di balik dapur sebuah restoran.

“Ringkasnya, naskhah ini bukan sekadar cerita tentang kematian, tetapi mengenai hidup yang 'direbus' bersama harapan, dendam dan identiti. Semua itu disajikan di dalam satu periuk tomyam,” jelasnya.

Dapur, Rahsia Dan Konflik

Lebih daripada sekadar latar cerita, dunia dapur dalam Muzikal Tomyam Berdarah menjadi ruang untuk naskhah ini mengembangkan konflik dan persoalan yang lebih dekat dengan realiti.

Melalui suasana sebuah restoran, ia turut menyentuh sisi hubungan manusia serta realiti yang berlaku di sebalik kehidupan sebuah dapur.

Menurut Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan, pemilihan dunia kulinari sebagai latar turut membuka ruang untuk mengetengahkan sisi industri F&B yang sering dilihat secara lebih ringan menerusi hiburan.

“Melihat potensi bidang kulinari dapat bantu membina kerjaya terbaik dan popularitinya sering diangkat baik dalam drama tempatan mahupun luar negara, maka CTRA Production turut mengambil tema serupa dengan menerapkan elemen mendidik sambil berhibur,” katanya.

Dalam masa sama, pendekatan interaktif menjadi antara tarikan utama pementasan ini apabila penonton bukan sekadar mengikuti perjalanan cerita, sebaliknya diberi peluang untuk bertindak sebagai 'penyiasat' dalam usaha merungkai misteri yang berlaku di restoran tersebut.

Pendekatan itu khususnya memberi pengalaman berbeza kepada penonton cilik dan remaja apabila mereka perlu meneliti petunjuk, menganalisis situasi serta membuat kesimpulan sendiri untuk mengenal pasti dalang di sebalik kejadian.

Naskhah terbitan CTRA Production dan Peran Opera ini bakal dipentaskan selama tiga hari di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026.

Muzikal Tomyam Berdarah menampilkan barisan pelakon termasuk Karl Shafek dan Juhara Ayob, dengan tiket ditawarkan pada harga RM25 dan RM35. Pembelian boleh dibuat menerusi laman web www.ilassotickets.com- 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments