AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kekal dibebaskan daripada empat pertuduhan membabitkan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta serta pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir pihak pendakwaan pada Isnin.Keputusan itu dicapai menerusi penghakiman majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais. Dua lagi hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, berpendapat Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kekhilafan apabila sebelum ini membenarkan rayuan Syed Saddiq sekali gus melepas dan membebaskannya daripada semua pertuduhan.
Bagaimanapun, Abu Bakar menyampaikan penghakiman berbeza apabila berpendapat sabitan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu sepatutnya dikekalkan.
Dengan keputusan majoriti tersebut, rayuan terakhir pihak pendakwaan ditolak dan Syed Saddiq, terus dilepas serta dibebaskan daripada sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.
Sebelum ini, ahli politik berusia 34 tahun itu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Armada.
Bagaimanapun, keputusan itu telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada Jun 2025 sebelum dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan muktamad yang diumumkan hari ini.
- 7KLIK
[Kredit Berita: Awani, Sinar Harian, Berita Harian]ARTIKEL LAIN:
0 Comments