Konsert 'KITA: 25 Tahun Bersama' Bawa Kisah Perjalanan Seni Shila Amzah


SELAMA 25 tahun berada dalam industri muzik, nama Shila Amzah bukan lagi sekadar dikenali menerusi kekuatan vokalnya, tetapi juga perjalanan seninya yang berjaya menembusi sempadan negara.

Daripada pentas muzik tempatan, pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah itu membina pengaruh lebih luas apabila mencipta nama di China, khususnya menerusi penguasaan bahasa Mandarin serta kebolehannya menyesuaikan diri dengan budaya muzik yang berbeza.

Keupayaan menyampaikan lagu dalam beberapa bahasa, sambil mengekalkan identiti sebagai anak seni Malaysia, menjadikan Shila antara penyanyi yang mempunyai laluan kerjaya cukup unik.

Kini, selepas lebih dua dekad bergelar penghibur, penyanyi berusia 36 tahun itu bakal meraikan perjalanan panjang tersebut menerusi konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama yang dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highland.

Dengan jangkaan kehadiran lebih 5,000 penonton, konsert berskala mega ini menjadi sebuah perjalanan muzik yang merentasi pelbagai era kerjaya Shila, lengkap dengan produksi bertaraf antarabangsa, susunan muzik eksklusif serta visual yang bakal memberikan pengalaman luar biasa kepada para penonton.

"Konsert KITA – 25 Tahun Bersama bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 saya dalam industri muzik, tetapi lebih kepada menghargai setiap insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

"Saya percaya setiap lagu yang pernah saya nyanyikan mempunyai cerita tersendiri dan saya mahu menghidupkan semula semua kenangan itu bersama para peminat yang sentiasa berada di sisi saya sejak hari pertama," ujarnya.

Konsert anjuran Pink Asia Entertainment itu bakal membawa penonton menelusuri pelbagai fasa penting dalam perjalanan seni Shila menerusi 40 lagu yang merangkumi bahasa Mandarin, Melayu, Inggeris dan Tamil.

Lagu berbahasa Mandarin dijangka mendominasi persembahan apabila sekitar 17 hingga 18 lagu akan disampaikan dalam bahasa tersebut. Pemilihan itu tidak mengejutkan memandangkan hubungan panjang Shila dengan industri muzik China yang turut menyumbang kepada perkembangan kerjayanya di peringkat antarabangsa.

Namun, lagu-lagu Melayu yang menjadi asas perjalanan seninya tetap menjadi sebahagian penting dalam konsert berkenaan, selain elemen persembahan lain yang melengkapkan konsep empat bahasa.

Dalam pada itu, konsert ini turut menampilkan segmen tribute istimewa sebagai penghormatan kepada tiga legenda muzik tempatan dan antarabangsa yang banyak memberi inspirasi sepanjang 25 tahun kerjayanya iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Michael Jackson dan Fish Leong, bintang kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Taiwan.

Tampilkan Sisi Lebih Bertenaga Di Pentas

Selain mengimbau perjalanan muzik sepanjang 25 tahun, Shila yang ditemui di sidang media konsert tersebut di The Coffee Bean & Tea Leaf, Sierra Fresco, Puchong pada Rabu berkata, konsert ini turut memberi ruang buat dirinya memperlihatkan sisi berbeza yang mungkin jarang disaksikan peminat.

Jika sebelum ini dia cukup sinonim dengan persembahan lagu balada yang memberi tumpuan kepada kekuatan vokal dan emosi, kali ini Shila mahu tampil lebih aktif dengan memasukkan elemen tarian dalam persembahan.

Menurutnya, menari sememangnya menjadi minatnya, namun peluang untuk mengetengahkan sisi tersebut sebelum ini agak terhad.

“Saya sebenarnya sangat suka menari. Jadi, untuk konsert kali ini, saya mahu menampilkan lebih banyak persembahan yang membolehkan saya bergerak aktif di pentas,” ujarnya.


Bagaimanapun, menggabungkan nyanyian secara langsung dengan pergerakan tari bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan persediaan fizikal, latihan berterusan, stamina serta disiplin pentas yang berbeza berbanding persembahan biasa.

Malah dengan jumlah lagu yang besar untuk satu malam, ibu kepada dua cahayamata itu juga perlu memastikan keseimbangan antara vokal, koreografi dan tenaga sepanjang persembahan agar setiap segmen dapat disampaikan dengan baik.

“Untuk menyampaikan 40 lagu itu, saya perlu membuat persediaan seperti seorang atlet. Saya bersenam hampir setiap hari, berada di studio setiap hari dan meneliti setiap susunan muzik supaya persembahan nanti berjalan sempurna,” katanya.

Selain persembahan solo, konsert ini turut menampilkan barisan artis jemputan seperti Hael Husaini, Mimi Fly, DJ Fuzz, Balan Kashmir dan Kidd Santhe yang akan membawa warna muzik berbeza ke pentas.

"Saya sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan rakan-rakan artis yang saya hormati kerana mereka masing-masing mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri.

"Saya percaya gabungan ini akan menjadikan 'KITA – 25 Tahun Bersama' lebih istimewa dan saya berharap semua yang hadir akan pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan," katanya.

Konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama bukan hanya tentang sebuah persembahan, tetapi perjalanan panjang yang dikongsi antara seorang penyanyi dan peminat yang membesar bersama lagu-lagunya.

Selepas 25 tahun berkarya, Shila masih membawa banyak cerita, pengalaman dan sisi baharu yang ingin dipersembahkan. Pentas ini bakal menjadi saksi kepada satu lagi bab penting dalam perjalanan seni seorang penyanyi yang terus berkembang.

Tiket konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama dijual dengan harga antara RM149 hingga RM599 dan boleh didapati menerusi laman web www.rwgenting.com dan www.ticket2u.com.my. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments