ANEMIA Kekurangan Zat Besi (IDA) dalam kalangan kanak-kanak bukan lagi isu yang boleh dipandang ringan. Walaupun sering berlaku tanpa simptom jelas, kekurangan zat besi ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan otak, keupayaan pembelajaran serta tumbesaran anak-anak jika tidak dikesan dan dirawat lebih awal.
Atas kebimbangan itu, Dumex Dugro menerusi inisiatif Generasi Kuat Zat Besi terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, sambil menekankan kepentingan saringan awal tanpa invasif sebagai langkah penting mengenal pasti IDA sejak peringkat awal.
Usaha ini diketengahkan menerusi Arena Generasi Kuat Zat Besi, sebuah platform perbincangan yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang kesihatan, dasar awam, penyelidikan dan pemakanan bagi memperkukuh pendekatan menangani IDA dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Antara yang terlibat termasuk Penyelidik Kanan Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI), Muhammad Daniel Kittu; Ahli Parlimen Puchong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin; Pakar Perubatan Keluarga Perunding, Dr Sri Wahyu Taher; serta Pengarah Sains Perubatan & Pemakanan Danone Asia Tenggara, Angie Low.
Acara ini turut menyaksikan pelantikan pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani, sebagai duta baharu Dumex Dugro. Atlet berusia 27 tahun itu membesar bersama jenama berkenaan sejak kecil dan kini membawa misi peribadi untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa memberi perhatian terhadap pengesanan awal IDA.
“Apabila saya memahami kesan IDA terhadap perkembangan otak, ia benar-benar membuka mata saya sebagai seorang bapa. Apa yang paling menarik perhatian saya tentang inisiatif Generasi Kuat Zat Besi Dumex Dugro ialah ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah memudahkan akses kepada saringan serta membantu ibu bapa memahami isu ini.
"Atas sebab itulah saya berbangga menyertai misi ini untuk menggalakkan lebih ramai keluarga mengambil langkah pertama, kerana tindakan awal mampu membawa perubahan besar kepada masa depan anak-anak kita,” ujarnya.
Saringan Awal Jadi Keutamaan
Perbincangan dalam forum tersebut menekankan satu perkara penting iaitu usaha menangani IDA perlu bergerak melangkaui kesedaran semata-mata kepada tindakan yang lebih awal dan sistematik melalui saringan berkala serta intervensi pemakanan.
Dari sudut kesihatan awam, IDA kekal sebagai isu yang membimbangkan kerana dianggarkan menjejaskan kira-kira satu daripada tiga kanak-kanak di Malaysia, sekali gus memberi implikasi besar terhadap pembangunan generasi masa depan jika tidak ditangani dengan berkesan.
Dalam perspektif ekonomi pula, kajian yang dibentangkan menunjukkan kesan IDA boleh mencecah kerugian produktiviti sekitar RM10.8 bilion atau 0.6 peratus (%) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun berdasarkan anggaran konservatif data 2022.
Pada masa sama, bukti klinikal turut menekankan cabaran utama IDA yang sering tidak disedari. Sekitar 90% kanak-kanak dengan keadaan ini tidak menunjukkan simptom yang jelas, dan apabila tanda seperti keletihan, kurang selera makan, perkembangan perlahan atau kulit pucat muncul, ia lazimnya sudah berada pada tahap lebih serius.
Kajian saintifik turut menunjukkan bahawa hampir 90% perkembangan otak berlaku sebelum usia lima tahun, menjadikan fasa awal kehidupan sebagai tempoh paling kritikal untuk memastikan pemakanan dan zat besi yang mencukupi. Kekurangan pada tahap ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap keupayaan pembelajaran dan perkembangan kognitif kanak-kanak.
Arena Generasi Kuat Zat Besi berlangsung di Lotus’s IOI City Mall, Putrajaya sehingga 21 Jun, menawarkan saringan IDA tanpa invasif secara percuma, penilaian tumbesaran serta pelbagai aktiviti interaktif untuk keluarga.
Inisiatif ini akan diteruskan melalui lima siri jerayawara di cawangan Lotus’s terpilih di seluruh negara dari Julai hingga November 2026, bagi memperluaskan akses saringan awal kepada lebih ramai ibu bapa. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments