Ungguli Pentas Akhir: Kala Maharaja PKINK & Sri Kandi Tumpat Dinobat Juara Dikir Barat RTM 2026

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail (tengah) bersama barisan pemenang Pertandingan Dikir Barat RTM 2026

PENTAS Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kuala Lumpur menjadi saksi kemuncak penuh warna-warni apabila Kumpulan Kala Maharaja PKINK dan Sri Kandi Tumpat dinobatkan sebagai juara Pertandingan Dikir Barat RTM 2026.

Acara berprestij ini sekali lagi mengangkat seni tradisional Kelantan ke pentas nasional dengan persembahan penuh energi, kreativiti dan identiti budaya yang kuat.

Kemenangan ini menyaksikan Kala Maharaja PKINK mengungguli kategori Kumpulan Lelaki, manakala Sri Kandi Tumpat menawan gelaran bagi kategori Kumpulan Wanita. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 dan RM25,000.

Kehebatan Kala Maharaja PKINK turut terserlah apabila mereka turut meraih anugerah bagi kategori individu. Tok Jogho mereka, Ejak Akiem dinobatkan sebagai Tok Jogho Lelaki Terbaik, manakala Tukang Karut, Megat Haikal menerima gelaran Tukang Karut Lelaki Terbaik.  Kedua-duanya turut membawa pulang wang tunai bernilai RM4,000 dan RM5,000.

Sri Kandi Tumpat tidak kurang hebatnya apabila turut mencatat kemenangan berganda menerusi kategori individu wanita. Tok Jogho Wanita Terbaik menjadi milik Nana Alunan Manja, manakala Tukang Karut Wanita Terbaik disandang oleh Ikin Sukma Sakti, sekali gus mengukuhkan dominasi kumpulan tersebut dalam kategori wanita. Pemenang kategori ini membawa pulang wang tunai RM3,000 dan RM5,000. 

Persaingan Sengit

Pertandingan tahun ini turut menyaksikan saingan sengit daripada kumpulan lain yang tidak kurang hebatnya. Seruling Kasih berjaya meraih gelaran Naib Juara bagi kategori lelaki, manakala Sri Andani pula mengungguli Naib Johan kategori Wanita, selain Anugerah Khas Raja Perfume Malaysia.

Kesemua anugerah utama pada malam kemuncak tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail, yang kehadirannya turut menambah seri kepada acara berprestij itu.

Persembahan setiap peserta dinilai oleh barisan juri berpengalaman luas dalam bidang seni persembahan, terdiri daripada Cikgu Kamzi Hamzah selaku Ketua Juri, bersama Ramlee Raja Laut, Mohd Asrulfaizal Kamaruzaman, Sabri Yunus dan Samsuring Meli.

Penilaian tersebut memberi penekanan terhadap kreativiti, penghayatan serta kekuatan persembahan tradisional yang ditampilkan setiap kumpulan.


Tukang Karut Lelaki Terbaik, Megat Haikal, berkongsi rasa syukur dan mendedikasikan kemenangannya kepada arwah bapanya, Megat Nordin, yang juga merupakan legenda dikir barat Kelantan.

"Bagi saya pihak lawan bukan calang-calang pesaing. Kami juga berdepan cabaran utama iaitu kekangan masa latihan kerana hanya ada tiga hari untuk membuat persiapan akhir sebelum pertandingan. Namun kami bersyukur dapat membuat persembahan yang terbaik," ujarnya.

Sementara itu, Ikin Sukma Sakti yang meraih gelaran Tukang Karut Wanita Terbaik mengakui tidak menyangka kemenangan berpihak kepadanya, lebih-lebih lagi ini merupakan penyertaan pertamanya dalam pertandingan tersebut. Pengalaman itu disifatkan sebagai satu pencapaian bermakna yang membuka ruang untuknya terus aktif dalam dunia seni dikir barat pada masa hadapan.

Malam kemuncak itu dihoskan oleh pengacara Izzue Islam, Sissy Imann dan Jeed Zulkefli, selain persembahan istimewa daripada Datuk Nora Ariffin, Den Manjo, Fendi Kenali.

Lebih daripada sekadar pertandingan, Dikir Barat RTM edisi ke-22 yang telah diperkenalkan sejak tahun 1993 ini terus menjadi platform penting dalam memartabatkan seni dikir barat. Ia bukan sahaja mengangkat warisan budaya tempatan, malah memperluas penyertaan termasuk dalam kalangan wanita serta generasi baharu, sekali gus memperkukuh kesinambungan seni tradisional di peringkat nasional. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments