Syamel Buka Fasa Baharu, ‘Pertama’ Jadi Titik Mula Paling Berani


KEINGINAN untuk terus berkongsi karya terbaik buat peminat mendorong Syamel kembali dengan single terbaharu berjudul Pertama, sebuah karya segar ciptaan dan terbitan Edry Abdul Halim.

Lagu ini hadir sebagai permulaan kepada fasa baharu dalam perjalanan seninya, sekali gus memperlihatkan sisi muzik yang lebih berani dan bereksperimen.

Pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 33, menyifatkan Pertama sebagai karya yang membawa nafas lebih groovy, moden dan memiliki identiti tersendiri.

Tidak sekadar mengangkat tema cinta, lagu ini turut merangkumkan perasaan spontan yang sukar dijelaskan, namun cukup kuat untuk mencetuskan rasa bahagia dan harapan dalam diri pendengar.

“Pertama mengangkat tema cinta pandang pertama, namun dengan pendekatan lebih luas dan terbuka. Ia bukan sekadar tentang jatuh cinta kepada seseorang, tetapi juga perasaan teruja dan terus 'klik' saat pertama kali melihat sesuatu yang diminati, sama ada kereta impian, rumah idaman atau apa sahaja yang menyentuh hati.

“Kadang-kadang bila kita tengok sesuatu, terus ada satu perasaan yang susah nak diterangkan, tapi hati kita terus klik. Itulah rasa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” ujarnya.

Menariknya, Pertama bukan sekadar sebuah single, malah turut menjadi judul kepada EP terbaharu yang dijadualkan dilancarkan pada Jun depan. Perancangan tersebut memperlihatkan kesungguhan Syamel dalam membina naratif muzik yang lebih tersusun dan menyeluruh.

"Insya-ALLAH dalam perancangan, saya akan keluarkan dua EP di mana setiap satunya akan mengandungi 10 lagu. Saya sengaja pecahkan kepada dua kerana mahu menampilkan dua konsep dan cerita berbeza.

"Single Pertama akan dimasukkan dalam EP1 dan selebihnya biarlah jadi kejutan buat peminat nanti. Semuanya sudah siap dirakam dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk dikongsi kepada semua," katanya.

Naratif Visual Sinematik Lengkapi Pertama

Bagi melengkapkan penceritaan lagu ini, muzik video (MV) rasmi Pertama tampil dengan konsep sinematik yang unik dan penuh imaginasi.

Syamel menjelaskan, visual tersebut mengangkat kisah pertemuan ringkas antara dua insan asing yang berkembang menjadi sebuah kisah cinta sempurna, sebelum akhirnya penonton menyedari bahawa segalanya hanyalah imaginasi yang tercipta dalam sekelip mata.

Pendekatan ini menggambarkan bagaimana satu detik yang singkat mampu terasa begitu besar apabila emosi hadir dengan kuat. Ia sekali gus menyerlahkan sisi manis, lucu dan penuh fantasi tentang pengalaman jatuh cinta pada pandangan pertama.

MV tersebut turut menampilkan kolaborasi bersama Sharmaine Alexander dan Aya Amiruddin, yang membawa elemen segar serta karisma tersendiri dalam menghidupkan penceritaan visual berkenaan.



Dari sudut produksi, Pertama memperlihatkan transformasi yang cukup berani buat Syamel. Dikenali dengan lagu-lagu balada yang sarat emosi, kali ini tampil dengan gaya nyanyian yang lebih santai, berani dan penuh attitude. Gabungan bunyi moden bersama elemen vintage turut memberikan identiti unik yang membezakan karya ini daripada hasil terdahulu.

Kerjasama bersama Edry Abdul Halim juga dilihat memainkan peranan penting dalam membentuk arah baharu ini, khususnya dari segi penyampaian vokal.

“Edry banyak tekankan soal feel dan attitude untuk lagu ini. Dia mahu saya tampil dengan energi berbeza, dan itu yang menjadikan Pertama sangat menarik untuk diterokai," jelasnya.

Syamel berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran MV Pertama di Pavilion Bukit Jalil pada Selasa.

Dalam masa sama, Pertama turut membawa makna yang lebih peribadi apabila didedikasikan khas buat para peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan seninya sejak awal.

Sebagai pelengkap kepada projek ini, sebuah dokumentari khas turut diterbitkan bagi memberi peluang kepada peminat mengenali dirinya dengan lebih dekat.

"Mereka dianggap antara insan pertama yang percaya terhadap bakat dan perjuangan saya. Mereka yang nampak saya sebelum orang lain nampak. Jadi lagu ini saya tujukan buat mereka yang pertama dalam hati saya.

"Mengenai dokumentari, saya sebenarnya bukan seorang yang suka bercerita tentang diri sendiri, tetapi memandangkan projek ini adalah permulaan baharu kerjaya, saya bersetuju untuk berbuat demikian.

"Jadi saya telah berkongsi bagaimana saya bermula dalam industri dan sedikit sebanyak tentang perjalanan kerjaya seni saya agar peminat lebih mengenali saya," jelasnya.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu, Pertama menjadi simbolik kepada permulaan baharu dalam evolusi seni Syamel. Ia membuka ruang kepada pelbagai cerita, emosi dan kejutan yang bakal dikongsikan pada masa akan datang.

“Ini adalah permulaan kepada satu perjalanan baharu. Akan ada banyak cerita, emosi dan kejutan yang saya nak kongsi selepas ini", katanya.

Single Pertama kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026, manakala tarikh pelancaran muzik video rasmi akan diumumkan menerusi media sosial rasmi Syamel. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments