| Pami bintang baharu yang sedang meningkat naik di Thailand |
SELEPAS tampil dengan pelbagai karya yang membawa impak segar dalam industri muzik, artis berbakat besar dari Thailand, Pami, kini kembali dengan single terbaharunya berjudul Cry Jar.
Lagu ini merupakan pelancaran terbaharu sejak album debutnya Puffette yang mendapat pujian ramai, dan hadir tidak lama selepas dia memenangi anugerah ‘Best Hidden Gem of the Year’ di anugerah berprestij TOTY Music Awards di Thailand baru-baru ini.
Single pop ini membawa melodi yang ringan dan mudah didengar, namun di sebalik bunyinya yang ceria, tersembunyi lirik tajam yang mengajak pendengar untuk menilai semula harga sebuah patah hati dalam sesuatu hubungan.
Cry Jar menggambarkan bagaimana jika kesakitan emosi boleh 'diukur' melalui konsep sebuah balang yang menjadi simbol kepada pampasan emosi setiap kali air mata jatuh.
“Kalau kamu tak mahu cuba dalam cinta, tak mengapa! Bayarlah harga itu. Setiap kali kamu buat saya menangis, air mata itu dimasukkan ke dalam balang sebagai bukti bahawa kesakitan itu tidak hilang, malah ia semakin menimbun,” jelas Pami tentang single terbaharunya.
Lagu ini ditulis oleh Pami ketika menyertai sebuah kem penulisan lagu di Sydney, Australia, satu persekitaran baharu yang membuka ruang inspirasi segar buat dirinya.
Dari situlah lahirnya idea Cry Jar, sebuah lagu yang dibina dengan bunyi yang 'playful', cerah dan hampir manis, namun membawa lirik yang sinis dan penuh makna.
Antara Sindiran, Emosi dan Realiti Hubungan
Menurut Pami, dia tidak mahu lagu ini kedengaran terlalu berat atau dramatik, sebaliknya memilih pendekatan lebih santai tetapi tajam dari segi mesej.
“Saya tidak mahu lagu ini kedengaran terlalu berat atau dramatik. Saya ingin ia menjadi satu jenaka gelap yang mencerminkan kebenaran, apabila seseorang terus menyakiti tanpa peduli, setiap luka itu datang dengan harga yang perlu dibayar,” tambahnya.
Pami merupakan seorang penyanyi dan penulis lagu dari Thailand yang membuat debut pada tahun 2024 dan pantas menarik perhatian peminat muzik dari seluruh dunia menerusi gaya popnya yang segar serta vokal lembut dan hangat dalam EP debutnya Out of Nowhere.
Kejayaan itu kemudian diteruskan dengan pelancaran album penuh pertamanya, Puffette pada tahun 2025, yang memperkenalkan pami kepada audiens yang lebih luas dan mengikuti perkembangan seninya sehingga hari ini.
Sepanjang tahun lalu, Pami muncul sebagai salah satu artis muda Asia yang semakin menyerlah, termasuk membuat persembahan di beberapa festival muzik di pelbagai negara seperti LaLaLa Festival di Indonesia, BiKN Shibuya di Jepun, Zandari Festa di Korea Selatan dan Bangkok Music City di Thailand, sekali gus mengukuhkan namanya sebagai antara bintang baharu yang sedang meningkat naik di rantau ini.
Dengan Cry Jar, Pami sekali lagi membuktikan bahawa dia bukan sekadar menghasilkan lagu pop sedap didengar, tetapi juga karya yang mempunyai cerita, sindiran dan emosi yang dekat dengan realiti hubungan masa kini.
Lagu ini bukan sekadar tentang air mata, tetapi tentang nilai perasaan yang sering dianggap remeh dan bagaimana setiap luka sebenarnya mempunyai harga yang perlu dibayar. 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments