INDUSTRI muzik kembali meriah dengan deretan lagu raya pelbagai genre yang dihasilkan untuk menyemarakkan sambutan Hari Raya yang bakal tiba.
Daripada lagu bernuansa nostalgia hingga karya moden yang segar, setiap satunya hadir untuk membangkitkan keterujaan pulang ke kampung dan kemeriahan Aidilfitri.
Tidak mahu ketinggalan, Sakura Band muncul dengan langkah istimewa apabila melancarkan single raya pertama mereka, Raya Di Kampung, sebuah karya yang menggabungkan identiti pop rock kumpulan itu dengan aura tradisi yang dekat dengan hati pendengar.
Lagu tersebut hadir dengan gabungan elemen nostalgia yang sering dikaitkan dengan suasana pulang ke desa, namun disampaikan melalui pendekatan muzik lebih segar dan moden.
Hasilnya, Raya Di Kampung bukan sekadar sebuah lagu perayaan, tetapi juga gambaran emosi yang sering dirasai ramai setiap kali menjelang musim balik kampung.
Menurut Sakura Band yang diwakili vokalisnya, Mell atau Melley Matius, penghasilan lagu raya sebenarnya sudah lama berada dalam perancangan mereka sejak awal penubuhan kumpulan itu .
Impian untuk memiliki lagu raya sendiri menjadi salah satu sasaran yang ingin direalisasikan, dan Raya Di Kampung akhirnya menjadi karya yang memenuhi hasrat tersebut.
“Lagu raya memang antara 'wishlist' Sakura Band untuk dihasilkan. Raya Di Kampung bertemakan balik kampung kerana kami nak gambarkan perasaan seronok dan teruja nak pulang beraya bersama keluarga, ujarnya.
Namun bagi Sakura Band, cabaran sebenar adalah mencipta lagu dengan tema yang sama tetapi disampaikan melalui pendekatan muzik yang lebih kontemporari tanpa menghilangkan rasa nostalgia raya.
Menggabungkan Nostalgia dan Sentuhan Muzik Moden
Menurut Mell, dari sudut proses kreatif penghasilan Raya Di Kampung berlangsung secara spontan dan organik. Sakura Band memilih untuk tidak terlalu menekankan aspek teknikal yang berlebihan, sebaliknya memberi ruang kepada emosi dan suasana lagu berkembang secara semula jadi.
“Kami tak terlalu tekankan bahagian teknikal. Apa yang lebih penting, kami mahu pendengar rasa santai, 'enjoy' dan benar-benar masuk dalam 'mood' balik kampung. Lagu ini memang dicipta supaya mudah didengar dan dekat dengan hati,” katanya.
Dari segi susunan muzik pula, Raya Di Kampung masih mengekalkan identiti bunyi Sakura Band yang sebelum ini diperkenalkan menerusi single Polaroid.
Elemen tersebut menjadi asas kepada komposisi lagu, namun diperkaya dengan sentuhan tradisional Melayu bagi menguatkan lagi aura Aidilfitri dalam karya ini.
Gabungan unsur moden dan tradisional itu memberikan warna tersendiri kepada lagu berkenaan, sekali gus menjadikannya dekat dengan suasana perayaan yang penuh kemeriahan dan nostalgia.
“Kami masih kekalkan identiti Sakura Band berdasarkan lagu Polaroid, cuma untuk lagu raya ini kami gabungkan juga elemen tradisional Melayu supaya suasana raya itu lebih terasa,” ujarnya lagi.
Lagu ini juga diharapkan mampu membangkitkan kenangan manis yang sering dikaitkan dengan perjalanan pulang ke desa, suasana rumah kampung, serta detik berkumpul bersama insan tersayang.
Pada masa sama, karya ini turut ditujukan kepada mereka yang mungkin tidak berpeluang pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
Melalui melodi yang ceria dan lirik yang dekat dengan pengalaman ramai, Sakura Band berharap lagu ini tetap mampu menghadirkan rasa kegembiraan serta semangat Aidilfitri walaupun berada jauh dari kampung halaman.
Bagi Mell sendiri, Raya Di Kampung membawa makna yang cukup peribadi kepada kumpulan tersebut. Kewujudan lagu raya pertama ini dianggap sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan seni Sakura Band, selain menjadi simbol kepada perkembangan mereka sebagai sebuah kumpulan yang terus bereksperimen dengan pelbagai idea muzik.
“Bagi kami, lagu ini melambangkan satu pencapaian besar kerana akhirnya kami mempunyai lagu raya sendiri. Ia sangat bermakna dalam perjalanan kerjaya Sakura Band dan kami harap ia dapat diterima semua lapisan pendengar, sekali gus lebih menonjolkan identiti kami kepada umum,” jelasnya.
Single Raya Di Kampung merupakan hasil ciptaan Nawfas dan Mell, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Mell. Proses penerbitan lagu ini turut melibatkan kerjasama beberapa nama dalam industri termasuk Wan 6ixthsense, Koh Kpro, Bajai, Amat Octo dan Harry Bakhari, dengan proses adunan serta mastering disempurnakan oleh Koh Kpro.
Dengan gabungan elemen moden dan tradisional yang seimbang, Raya Di Kampung diharapkan dapat menjadi antara runut bunyi yang mengiringi suasana Aidilfitri, sekali gus menyemarakkan lagi perasaan pulang ke desa bersama keluarga tercinta.
Single terbitan Seventeen Eleven Music ini kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments