PENYANYI Syasya Rizal kembali menyemarakkan suasana perayaan dengan single terbaharunya berjudul Inikan Hari Raya.
Lagu ini membawa mesej tentang kebersamaan, rasa syukur dan kesederhanaan, mengingatkan bahawa inti pati Hari Raya bukan pada kemewahan, tetapi pada kebahagiaan yang dikongsi bersama keluarga dan insan tersayang.
Lagu Inikan Hari Raya hasil penulisan Syasya Rizal bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus ini dibina dengan melodi yang membangkitkan suasana hangat serta semangat perayaan.
Muziknya bermula dengan progresi kord yang ringkas dan alunan dram ringan, sebelum berkembang secara semula jadi dengan bahagian korus sebagai tunjang utama, sementara susunan muzik berlapis menambah tenaga menuju korus ceria yang mengangkat 'mood' raya.
Melalui bunyi ceria dan lirik yang menyentuh hati, lagu menyampaikan peringatan bahawa Hari Raya tetap bermakna walaupun disambut secara sederhana. Sama ada memakai baju lama atau meraikannya dengan cara ringkas, yang penting adalah peluang untuk berkumpul bersama insan tersayang.
Kesederhanaan dan Syukur di Sebalik Lagu
Syasya, 25, menekankan bahawa mesej kesederhanaan dan rasa syukur itu sangat dekat dengan dirinya kerana ia mencerminkan pengalaman peribadi dan perspektifnya terhadap makna sebenar Hari Raya.
“Bagi saya, Hari Raya sebenarnya sangat dekat dengan rasa syukur. Kadang-kadang bila kita tengok di media sosial, raya nampak macam semuanya perlu besar dan sempurna, baju banyak pasang, rumah cantik, semuanya nampak mewah.
"Namun realitinya tak semua orang sambut raya dengan cara macam tu. Raya bukan tentang apa yang kita tunjuk, tapi tentang siapa yang masih ada di sekeliling kita.
Single ini juga menandakan satu pencapaian istimewa buat bekas anggota kumpulan Dolla kerana ia merupakan pengalaman pertamanya terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu.
“Ini sebenarnya pengalaman pertama saya terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu. Jadi ia sangat istimewa sebab mesej yang disampaikan dalam lagu ini benar-benar datang daripada hati saya sendiri kepada para peminat.
"Proses menulis bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus juga sangat menyeronokkan kerana mereka banyak membimbing saya tentang bagaimana membina melodi, emosi dan cerita dalam sebuah lagu,” jelasnya.
| Obot dan Obit penyeri hidup Syasya dan suami |
Hari Raya kini membawa makna lebih mendalam buat Syasya yang kini bergelar ibu kepada dua anak kerana raya kini bukan sekadar detik sambutan perayaan, tetapi momen untuk merasai kehangatan keluarga dan mencipta kenangan bersama insan tersayang.
Kehadiran anak-anak dalam hidupnya mengubah perspektif perayaan, menjadikan setiap tradisi dan detik sederhana lebih bermakna, sambil menekankan nilai kebersamaan dan kasih sayang dalam suasana Hari Raya yang sebenar.
“Sekarang raya terasa lagi berbeza untuk saya sebab dah ada keluarga sendiri. Ada suami di sisi, dan sekarang ada dua bayi comel Obot dan Obit yang buat suasana raya tu jadi lebih hidup.
"Bila ada anak, kita mula sedar bahawa raya bukan lagi tentang kita, kita mula cipta memori raya untuk mereka pula. Bagi saya, itulah sebenarnya makna raya yang paling indah,” katanya.
Selain itu, Syasya berharap lagu ini dapat mengingatkan pendengar tentang perkara kecil yang paling bermakna semasa perayaan.
“Saya harap bila orang dengar lagu ini, mereka akan teringat kepada perkara kecil yang sebenarnya sangat bermakna waktu raya seperti bangun pagi raya, bau rendang dari dapur, atau makan bersama keluarga.
"Mungkin ada yang sambut raya secara sederhana, tapi semua itu tetap berharga. Lagu ini juga mengingatkan kita untuk sentiasa bersyukur dan berempati dengan orang lain yang mungkin tidak dapat merasai kegembiraan raya seperti kita,” kongsinya.
Dalam ada itu, Syasya turut berharap agar lagu Inikan Hari Raya dapat menjadi sebahagian daripada memori raya pendengar setiap tahun.
“Saya harap Inikan Hari Raya boleh jadi salah satu lagu yang orang akan pasang setiap kali tiba musim raya. Kalau satu hari nanti ada orang cakap lagu ini mengingatkan mereka kepada kenangan raya bersama keluarga, itu sebenarnya hadiah paling besar untuk saya sebagai seorang penyanyi,” akhirinya.
Jangan lepaskan peluang untuk dengar Inikan Hari Raya, kini tersedia di semua platform penstriman digital, lagu penuh keceriaan ini pasti akan menambahkan kemeriahan setiap momen raya bersama keluarga dan orang tersayang. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments