FENOMENA drama Korea terus mencipta gelombang baharu di platform penstriman apabila siri komedi romantik Perfect Crown kini rasmi menjadi tayangan perdana kandungan Korea paling banyak ditonton di Disney+ secara global, termasuk di luar rantau Asia Pasifik (APAC).Sejak mula ditayangkan pada 10 April lalu, drama ini mencatat kejayaan luar biasa di pelbagai pasaran antarabangsa.
Perfect Crown turut muncul sebagai kandungan Korea paling banyak ditonton semasa tayangan perdana di Amerika Syarikat dan Kanada, rantau EMEA yang merangkumi Jerman, Sepanyol, United Kingdom serta Itali, selain Amerika Latin termasuk Argentina, Brazil dan Mexico. Populariti siri ini turut melonjak di Australia, New Zealand, Filipina, Malaysia, Singapura dan Jepun.
Setakat ini, drama tersebut telah merekodkan sebanyak 43 juta jam tontonan di seluruh dunia, selain menunjukkan peningkatan tontonan dari minggu ke minggu. Episod kelapan khususnya menjadi titik lonjakan penting apabila mencatat peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding episod pertama berdasarkan jumlah tontonan dalam tempoh tujuh hari.
Perfect Crown mengangkat kisah Grand Prince I-AN, figura diraja yang menjadi kesayangan rakyat namun terperangkap dalam perebutan kuasa melibatkan ahli keluarga diraja lain. Dalam masa sama, tekanan untuk mendirikan rumah tangga memaksanya menjalinkan perkahwinan strategik bersama Huiju, pewaris kepada sebuah konglomerat besar Korea Selatan.
Apa yang bermula sebagai hubungan demi kepentingan masing-masing perlahan-lahan berubah menjadi sesuatu yang lebih rumit apabila emosi mula menguasai keadaan, sekali gus mencetuskan konflik dan dinamik hubungan yang tidak dijangka.
Drama ini menampilkan IU sebagai Huiju, pewaris kedua kepada salah satu konglomerat terbesar Korea Selatan, manakala Byeon Woo-seok membawa watak Grand Prince I-AN. Siri ini diarahkan oleh Park Joon-hwa dan ditulis oleh Yoo Ji-won.
Sebanyak 10 episod pertama
Perfect Crown kini boleh distrim menerusi Disney+, manakala dua episod terakhir dijadual menemui penonton pada 15 dan 16 Mei jam 10.20 malam waktu Malaysia.
ARTIKEL LAIN:
0 Comments