Eksperimen Berani Aizat Amdan x SOG, Penampilan Istimewa Yuna Dalam ‘Ajar Aku’


SELEPAS lebih dua dekad membina nama menerusi karya balada dan pop alternatif yang dekat dengan jiwa pendengar, Aizat Amdan kini melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan seninya menerusi single terbaharu berjudul Ajar Aku.

Lebih menarik, karya ini hadir sebagai kolaborasi bersama kumpulan post-hardcore, Sekumpulan Orang Gila (SOG), yang membawa gabungan dua dunia muzik berbeza dalam satu eksperimen sonik yang berani dan segar.

Diterbitkan di bawah Kasi Gegar Entertainment (KGE), Ajar Aku muncul bukan sekadar sebagai sebuah kolaborasi muzik, tetapi sebagai simbol pertembungan dua identiti seni yang sanggup keluar daripada zon selesa demi menghasilkan karya yang lebih jujur, organik dan eksperimental.

Gabungan kelembutan melodi serta naratif emosional Aizat bersama tenaga agresif dan intensiti post-hardcore SOG menghasilkan sebuah karya pop rock progresif dengan sentuhan sinematik yang tersendiri.

Menariknya, idea awal Ajar Aku tercetus secara spontan ketika sesi rakaman Dari Studio Podcast, sebuah program kendalian Aizat yang memberi ruang kepada perbincangan dan penciptaan lagu secara langsung bersama tetamu jemputan.

Kehadiran SOG sebagai tetamu episod pada Mei tahun lalu akhirnya membuka ruang kepada proses kreatif yang tidak dirancang, tetapi berkembang secara natural sepanjang sesi berlangsung di studio.

“Kami bermula dengan berbual tentang muzik, perjalanan seni dan pengalaman dalam industri. Pada masa podcast itu juga kami mula membina idea dan akhirnya ‘Ajar Aku’ lahir secara organik daripada sesi tersebut,” kata Aizat.

Pendengar turut berpeluang menyaksikan detik awal pembentukan lagu ini menerusi episod Dari Studio EP34 yang tersedia di YouTube, yang memperlihatkan bagaimana sebuah idea kecil berkembang menjadi karya penuh emosi dan struktur muzik yang lengkap.


Dari sudut naratif, lagu ciptaan bersama Aizat Amdan, Raja Nazrin Shah, Raja Nazmin Shah dan Anas Amdan ini membawa tema yang dekat dengan kehidupan manusia iaitu keberanian untuk merendahkan ego demi menerima ilmu, kasih sayang dan bimbingan daripada orang sekeliling.

Walaupun tidak berpaksikan satu pengalaman khusus, Aizat menjelaskan bahawa karya ini lahir daripada gabungan pemerhatian dan refleksi sepanjang perjalanan hidup serta kerjayanya dalam industri muzik.

“Ia adalah tentang manusia yang sedang mencari arah dan tidak malu untuk meminta tunjuk ajar. Kadang-kadang kita terlalu ego untuk menerima nasihat sedangkan proses belajar itu sendiri adalah sebahagian daripada kehidupan,” jelasnya.

Pertembungan Pop Soulful dan Post-Hardcore

Dari sudut muzik, Ajar Aku menjadi titik pertemuan antara dua karakter bunyi yang berbeza tetapi saling melengkapi. Vokal Aizat yang dikenali dengan sentuhan soulful dan melodi pop yang lembut digandingkan dengan tenaga vokal Raja Nazrin Shah yang lebih kasar dan agresif, sekali gus mewujudkan dinamika emosi yang kuat sepanjang lagu.

“Suara saya lebih ‘soulful’ manakala Nazrin pula mempunyai karakter rock yang lebih kasar. Jadi kami banyak bereksperimen untuk mencari titik tengah supaya kedua-dua identiti itu masih kekal tetapi kedengaran seimbang,” katanya.

Sentuhan produksi Anas Amdan pula memperkukuhkan keseluruhan karya dengan susunan muzik yang kaya, termasuk elemen strings serta tekstur sinematik yang memberi skala lebih dramatik kepada lagu tersebut.

Kemunculan Istimewa Yuna

Antara elemen paling mengejutkan dalam Ajar Aku ialah kemunculan suara istimewa Yuna di penghujung lagu. Menurut Aizat, bahagian vokal wanita tersebut pada asalnya hanyalah demo menggunakan suara AI sebelum kehadiran Yuna secara spontan mengubah arah produksi lagu.

“Bila Yuna dengar bahagian akhirnya, dia terus kata, ‘Biar saya yang rakamkan bahagian ini.’ Jadi daripada menggunakan AI, kami dapat sesuatu yang jauh lebih hidup dan bermakna,” ujar Aizat.

Yuna juga antara individu terawal yang memberikan sokongan terhadap karya ini, termasuk mencadangkan agar muzik video rasmi dihasilkan bagi memperluaskan impak visual lagu tersebut.


Bagi Aizat, Ajar Aku bukan sekadar percubaan mencampurkan dua genre berbeza, tetapi satu usaha untuk memperluaskan landskap muzik tempatan melalui pendekatan yang lebih terbuka dan berani.

“Saya berharap pendengar dapat menerima gabungan bunyi baharu ini dan melihat bahawa muzik tempatan juga mampu bereksperimen tanpa kehilangan emosi dan kejujurannya. Insya-ALLAH, saya mahu Ajar Aku menjadi lagu yang ‘timeless’ dan terus relevan walaupun masa berlalu,” akhirinya.

Single Ajar Aku oleh Aizat Amdan x SOG kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Apple Music, Spotify dan YouTube. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments