‘Horror Raya’: Plong! Hidupkan Emosi Tersembunyi di Hari Raya


DALAM landskap muzik tempatan yang dipenuhi lagu raya evergreen, band indie tempatan Plong! tampil dengan pendekatan berbeza menerusi single terbaru mereka, Horror Raya (Bila Tiba Raya).

Berbeza daripada lagu raya yang sering dikaitkan dengan suasana ceria dan kebersamaan, Plong! yang dianggotai oleh Fahmi Samsudin selaku vokalis, Hidayat Nasir (gitar), Akmal Borhan (bass) dan Acin Nasir Pukul (synth) melihat ruang emosi yang jarang diterokai dalam genre ini, memberi nafas baharu yang lebih jujur dan mendalam.

Bagi mereka, musim raya bukan sekadar tentang perayaan, tetapi juga tentang rasa rindu, persoalan untuk pulang, serta emosi yang kadang-kadang tersimpan apabila tibanya Syawal.

Apresiasi Raya Yang Berbeza

Dari segi muzik, Horror Raya mengambil inspirasi daripada melodi klasik lagu raya yang sarat dengan nostalgia dan semangat kekeluargaan.

Namun, Plong! menyuntik elemen yang lebih gelap dan sinematik bagi mencipta identiti tersendiri. Konsep Horror Raya bukan berunsur seram secara literal, tetapi menggambarkan rasa panik, sunyi, dan memori yang seakan menghantui ketika musim perayaan menjelma.

Bagi Plong!, Hari Raya adalah tentang kembali, bukan sekadar pulang ke kampung halaman, tetapi kembali kepada hubungan, kenangan, dan ruang untuk bermaaf-maafan. Ia juga masa untuk refleksi, menghargai insan tersayang, dan menilai apa yang masih ada di sekeliling.

Melalui lagu ini, Plong! berharap pendengar dapat merasai campuran emosi yang wujud setiap kali menjelang raya, di mana kehangatan suasana, kerinduan untuk pulang, dan mungkin juga kegelisahan yang jarang dibicarakan bersatu menjadi satu pengalaman muzik yang unik.

Jika karya ini mampu membuat seseorang teringat kampung halaman, keluarga, atau mendorong mereka untuk menghubungi insan tersayang, itu sudah cukup bermakna bagi band ini.

Horror Raya (Bila Tiba Raya) kini tersedia di semua platform penstriman digital bermula 13 Mac lalu, menjemput pendengar untuk merasai sisi lain Hari Raya yang jarang diteroka.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments