Semangat Kekeluargaan Jadi Inspirasi, Achey Tampilkan Isteri dan Anak Dalam Lagu Raya Baharu


PENYANYI dan pelawak popular, Achey kembali memeriahkan suasana Aidilfitri tahun ini menerusi dua buah lagu raya baharu berjudul Nak Balik Raya dan Ibu Raya.

Kedua-dua karya tersebut hadir dengan pendekatan berbeza, namun tetap berkongsi mesej yang sama iaitu mengangkat nilai kekeluargaan, kegembiraan pulang ke kampung halaman serta keindahan meraikan Syawal bersama insan tersayang.

Lagu Nak Balik Raya tampil dengan konsep ceria dan santai yang menggambarkan suasana perjalanan pulang ke kampung menjelang Aidilfitri.

Lebih istimewa, lagu ini turut menonjolkan elemen kekeluargaan apabila isteri dan anak Achey, Tiara, terlibat secara langsung dalam projek berkenaan. Kehadiran mereka bukan sahaja menambah kehangatan pada karya tersebut, malah memberi sentuhan peribadi yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat ketika musim perayaan.

Menurut Achey, idea di sebalik lagu itu diinspirasikan daripada pengalaman serta momen yang sering dilalui oleh kebanyakan keluarga setiap kali menjelang Hari Raya.

“Konsep lagu ini sebenarnya sangat dekat dengan keluarga. Saya selitkan pembabitan isteri dan anak saya kerana mahu menonjolkan elemen kekeluargaan.

"Emosi lagu ini pula lebih kepada kegembiraan dan keterujaan orang ramai yang sedang membuat persiapan untuk pulang ke kampung," ujarnya.

Perasaan teruja membuat persiapan, kesibukan perjalanan pulang ke kampung serta kegembiraan bertemu keluarga menjadi antara emosi yang cuba diterjemahkan melalui lagu tersebut.

Pengalaman peribadinya sebagai anak seni turut menjadi antara sumber inspirasi dalam penghasilan lagu berkenaan.

Achey mengakui jadual kerjaya sebagai artis kadangkala membuatkan dirinya tidak berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga seperti orang lain, sekali gus mencetuskan nostalgia terhadap detik-detik perjalanan pulang ke kampung yang begitu bermakna.

Dalam masa sama, Nak Balik Raya juga membawa mesej yang lebih luas kepada generasi masa kini agar terus mengekalkan tradisi pulang ke kampung setiap kali Aidilfitri menjelma.

Bagi Achey, budaya tersebut bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya menjadi simbol kebersamaan dan peluang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Saya harap generasi sekarang masih ada ‘vibe’ untuk balik kampung. Kadang-kadang kita lihat ada yang memilih untuk beraya di bandar sahaja. 

"Bagi saya, budaya balik kampung itu sangat penting kerana di situlah kita berkumpul dengan keluarga dan berkongsi kegembiraan bersama,” katanya.

Trending Di YouTube, Raih Lebih 500,000 Tontonan

Sambutan terhadap lagu Nak Balik Raya dilihat cukup memberangsangkan apabila muzik videonya berjaya menduduki carta Top 10 Trending untuk muzik di YouTube sebaik sahaja dimuat naik pada 28 Februari lalu.

Malah sehingga kini, video tersebut telah meraih lebih 500,000 tontonan, sekali gus menunjukkan respons positif daripada para pendengar.



Selain Nak Balik Raya, Achey turut memperkenalkan sebuah lagi lagu raya berjudul Ibu Raya. Lagu ini menampilkan penyanyi cilik Tantari bersama dua bakat muda, Dahlya dan Rayyan.

Berbeza dengan lagu sebelumnya yang bernuansa ceria, Ibu Raya memberikan penekanan terhadap peranan seorang ibu serta nilai kasih sayang dalam keluarga ketika menyambut Aidilfitri.

Melalui kedua-dua lagu ini, Achey berharap karya yang dihasilkan mampu menjadi teman sepanjang perjalanan pulang ke kampung, di samping menyemarakkan lagi suasana sambutan Syawal.

“Saya berharap lagu-lagu ini diterima dengan santai dan penuh kegembiraan. Kalau boleh, biarlah ia dimainkan di radio, dalam bas, di pasar raya atau ketika orang ramai keluar membeli-belah di bazar Ramadan dan bazar raya.

"Mudah-mudahan lagu ini dapat membangkitkan semangat untuk orang ramai pulang beraya bersama keluarga,” katanya.

Baginya, lagu raya bukan sekadar hiburan bermusim, sebaliknya mampu membangkitkan nostalgia serta menghidupkan kembali semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Dengan gabungan elemen ceria, nostalgia dan kasih sayang keluarga, Nak Balik Raya dan Ibu Raya diharapkan dapat menjadi antara lagu yang menyerikan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Kedua-dua lagu raya terbitan Seventeen Eleven Music kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi syarikat tersebut. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments