| Sebahagian daripada hasil jualan bufet Ramadan tahun ini turut diperuntukkan kepada golongan memerlukan, dengan sumbangan RM10 bagi setiap jualan |
RAMADAN tahun ini menyaksikan Pullman Kuching memperkenalkan satu gagasan yang melangkaui konsep kempen bermusim.
Diberi nama 'Where Hope Rises', inisiatif ini menjadi payung kepada pendekatan Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Keterangkuman (DEI) hotel berkenaan, sekali gus menyatukan pelbagai usaha komuniti di bawah komitmen jangka panjang yang lebih tersusun dan jelas.
Di sebalik jenama hospitaliti bertaraf antarabangsa, hotel yang menjadi mercu tanda di puncak bukit Kuching ini menampilkan satu naratif yang lebih manusiawi.
'Where Hope Rises' digarap sebagai rangka kerja berterusan yang menegaskan bahawa hospitaliti tidak sekadar tentang perkhidmatan dan kemewahan, tetapi tentang membina ruang yang menyemai rasa hormat, empati dan kebersamaan. Pendekatan ini disesuaikan dengan konteks bandar raya Kuching yang kaya dengan budaya dan kepelbagaian komuniti.
Pengurus Besar Pullman Kuching, Sunardi Song, melihat keterangkuman sebagai nilai yang perlu diterjemahkan secara konsisten, bukan hanya ketika musim perayaan.
Baginya, Ramadan menjadi detik paling bermakna untuk memperkenalkan gagasan tersebut kerana bulan ini sarat dengan nilai kemurahan hati, keprihatinan dan semangat berkongsi merentas latar belakang.
Komitmen itu diterjemahkan melalui inisiatif 'Kongsi Kasih Bersama Pullman Kuching' yang membuka ruang pertemuan antara komuniti setempat dan warga hotel.
Program pembuka tirainya, 'Senja di Puncak Harapan', menghimpunkan 60 kanak-kanak dan guru dari PERYATIM Kuching, wakil Penan Women Project, rakan media serta pempengaruh dalam suasana yang lebih intim dan inklusif.
Berlatarkan panorama senja memukau, acara tersebut menjadi simbol bagaimana hospitaliti boleh menjadi jambatan menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
Hospitaliti Memberi Makna
Suasana yang terhasil bukan sekadar majlis berbuka puasa biasa. Ia menjadi ruang interaksi yang membenarkan tetamu daripada latar berbeza duduk semeja, berkongsi juadah dan mencipta momen kebersamaan tulus.
Persembahan khas melatari hidangan bufet Ramadan, menjadikan pengalaman itu lebih daripada sekadar santapan tetapi ia adalah pertemuan nilai dan cerita.
Sebahagian daripada hasil jualan bufet Ramadan tahun ini turut diperuntukkan kepada golongan memerlukan, dengan sumbangan RM10 bagi setiap jualan.
Dalam masa sama, hasil anyaman tangan komuniti Penan Women Project diketengahkan kepada tetamu, membuka peluang sokongan secara langsung terhadap usaha pemerkasaan wanita Penan melalui pembelian produk mereka.
Elemen ini memperlihatkan bagaimana platform hospitaliti boleh dimanfaatkan sebagai saluran ekonomi sosial yang praktikal.
Sepanjang Ramadan, Culina Pan-Asian Restaurant di hotel berkenaan menampilkan Culina Bazaar Nights, pengalaman bufet yang mengetengahkan cita rasa Asia dan hidangan kegemaran Sarawak. Konsepnya diinspirasikan daripada suasana bazar makanan terbuka, lengkap dengan Signature Kambing Golek, seleksi hidangan bakar serta pencuci mulut tradisional seperti ABC, cendol dan lemang.
Namun, yang lebih utama ialah falsafah di sebalik pengalaman tersebut bahawa juadah perayaan menjadi lebih bermakna apabila dikongsi dalam suasana yang menyatukan. Inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi pelancongan negara menjelang Visit Malaysia 2026, yang menekankan pengalaman berasaskan budaya, komuniti dan keaslian.
Sebagai destinasi pertemuan warga tempatan dan pelawat, Pullman Kuching memposisikan dirinya bukan sekadar sebagai tempat menginap, tetapi sebagai ruang meraikan nilai kebersamaan dan kerjasama tempatan.
Melalui 'Where Hope Rises', Ramadan di Pullman Kuching tidak hanya diraikan dengan hidangan dan suasana meriah. Ia menjadi refleksi bahawa dalam dunia hospitaliti moden, keikhlasan dan keterangkuman mampu menjadi asas yang lebih kukuh daripada sekadar kempen bermusim, satu pendekatan yang mengangkat komuniti sebagai teras sebenar layanan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments