LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membawa semangat perayaan lebih dekat kepada rakyat dengan menganjurkan Program Jualan Agro Madani sempena Sambutan Tahun Baru Cina dan Semarak Ramadan. Bertempat di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, acara selama tiga hari ini berlangsung dari 13 hingga 15 Februari 2026, menampilkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
Majlis perasmian disempurnakan oleh EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat merangkap ADUN Taman Templer, Anfaal Saari, dengan kehadiran Pengerusi FAMA, Haji Aminuddin Zulkipli, dan Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri, menambahkan seri program yang sarat dengan peluang menikmati hasil tempatan ini.
Program Jualan Agro Madani merupakan penjenamaan semula inisiatif Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang dijalankan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui FAMA, dengan sokongan agensi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Inisiatif ini bertujuan memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan sambil membuka ruang pasaran lebih luas kepada pengeluar dan usahawan agromakanan tempatan.
Tarikan Utama dan Aktiviti Komuniti
Acara ini menampilkan 43 lot penyertaan dan 25 usahawan, dengan sasaran kehadiran sekitar 10,000 pengunjung dan potensi nilai jualan lebih RM400,000.
Antara pengisian menarik termasuk jualan buah-buahan segar, makanan popular, produk Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT), jualan Rahmah, florikultur, serta pameran jabatan dan agensi. Pelbagai tarikan komuniti seperti petting zoo dan aktiviti kekeluargaan turut menambah kemeriahan program ini.
Konsep Jualan Agro Madani juga menawarkan promosi barangan keperluan harian yang cukup mesra pengguna. Jualan Kombo MADANI pada harga RM10, ayam RM10 seekor, daging RM25 sekilogram, serta sayur-sayuran serendah RM1 seikat.
Strategi ini bukan sahaja meringankan kos sara hidup pengguna, malah meningkatkan keterlihatan produk tempatan. Seiring dengan pelaksanaan program berskala besar menjelang musim perayaan, FAMA merancang Program Jualan Agro Madani Pra Ramadan dan Pra Syawal bagi bulan Februari dan Mac 2026 di seluruh negara.
Sebanyak 572 program bakal diadakan, termasuk 430 di Outlet FAMA dan 142 di lokasi bukan Outlet FAMA. Pendekatan ini memastikan bekalan barangan agromakanan mencukupi, mudah diperoleh, dan ditawarkan pada harga berpatutan.
Selain aktiviti jualan, program turut merangkumi pengisian komuniti yang mendidik dan menyeronokkan seperti ceramah pemakanan Ramadan, Agro Fun Walk, persembahan seni, sukan rakyat, demonstrasi pertanian, serta penyampaian bakul makanan kepada 1,000 penerima di DUN Taman Templer.
Penganjuran seumpama ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan usahawan melalui jualan langsung kepada pengguna, malah memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat setempat.
FAMA berharap Program Jualan Agro Madani terus menjadi platform berimpak tinggi, memperkukuh pemasaran hasil agromakanan tempatan, serta meningkatkan pendapatan petani dan usahawan.
Dengan rancangan perluasan ke lebih banyak lokasi dan penglibatan usahawan serta rakan strategik, program ini selari dengan usaha memperkasa keterjaminan makanan negara dan membudayakan sokongan rakyat terhadap produk tempatan.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments