SETELAH hampIr setahun bertarung penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS), atau Lou Gehrig, pelakon Eric Dane dilaporkan meninggal dunia di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Khamis.
Berita kematian itu disahkan oleh ahli keluarganya menerusi satu kenyataan rasmi kepada media antarabangsa.
"Dengan hati berat, kami berkongsi bahawa Eric Dane sudah meninggal dunia pada petang Khamis selepas berjuang dengan penuh berani melawan ALS," ujarnya.
Keluarga mendiang turut memohon orang ramai memberikan ruang privasi kepada mereka bagi mengharungi detik sukar ini.
Mendiang mengumumkan tentang penyakit yang dihidapinya itu pada April tahun lalu dan turut menggunakan pengaruhnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai ALS, termasuk melalui penyertaan bersama organisasi I AM ALS, memberi inspirasi kepada pesakit dan peminat.
ALS ialah penyakit neurodegeneratif yang merosakkan sel saraf di otak dan saraf tunjang, secara beransur-ansur mengurangkan kemampuan untuk bercakap, berjalan, makan dan bernafas.
Keikhlasan dan keberaniannya dalam menghadapi penyakit ini menambah dimensi lain dalam legasinya yang akan diingati ramai.
Eric Dane dikenali menerusi wataknya sebagai Dr. Mark 'McSteamy' Sloan dalam Grey’s Anatomy (2006–2012, dengan kemunculan semula pada musim ke-17), watak yang meninggalkan kesan mendalam di hati peminat di seluruh dunia.
Mendiang juga menonjol sebagai Cal Jacobs menerusi siri popular Euphoria dan muncul dalam filem seperti Marley & Me, Burlesque, dan Valentine’s Day, yang menunjukkan versatiliti dalam lakonan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments