Oleh: AILEEN ADAM
BINTANG kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, terus mengharumkan nama negara apabila namanya secara rasmi diabadikan di Hollywood Walk of Fame pada Khamis. Pengiktirafan berprestij yang menjadi simbol kemuncak kerjaya dalam industri hiburan antarabangsa itu menyaksikan aktres kesayangan ramai itu diraikan dalam satu majlis penuh gemilang, dihadiri rakan seni dan figura industri yang pernah berkongsi set serta perjalanan profesional bersamanya.
Pada usia 64 tahun, Michelle tampil anggun dalam gaun sutera kuning rekaan Dior, memancarkan kepercayaan diri yang menjadi signatur peribadinya sejak sekian lama.
Dalam ucapan yang sarat emosi, Michelle mengakui perjalanan menuju ke titik ini bukanlah satu garis lurus. Ada detik yang dipenuhi keraguan dan persoalan tentang kelayakan diri, namun keyakinan terhadap cerita yang melangkaui sempadan bahasa dan budaya menjadi pendorong untuk terus bertahan.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu memulakan langkah dalam industri menerusi filem aksi Hong Kong pada era 1990-an sebelum melebarkan sayap ke Hollywood.
Keberanian melakukan aksi sendiri serta disiplin yang tinggi menjadikan namanya sinonim dengan watak wanita berdaya tahan dan berkarisma.
Dari produksi Asia hingga naskhah antarabangsa berskala besar, Michelle membina reputasi sebagai pelakon versatil yang mampu menguasai pelbagai genre.
Kemuncak perjalanan tersebut hadir apabila dia memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi (Oscar) 2023, menerusi filem
Everything Everywhere All at Once, sekali gus mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama meraih kemenangan dalam kategori itu.
Kemenangan tersebut bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi simbol perubahan landskap industri yang semakin meraikan kepelbagaian suara dan wajah.
Dari Ipoh ke Hollywood Boulevard
Bintang yang kini terpahat di laluan legenda itu membawa makna lebih besar daripada sekadar simbol populariti. Michelle menyifatkannya sebagai penghormatan kepada semua yang telah membentuk perjalanannya, daripada keluarga hingga rakan kolaborator yang sentiasa percaya terhadap bakat dan dedikasinya.
Aktres yang cukup dikenali dengan sikap merendah diri ini turut menzahirkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya serta ahli keluarga yang hadir memberikan sokongan, menjadikan momen tersebut lebih intim dan bermakna.
Pengiktirafan ini dikelolakan oleh Hollywood Chamber of Commerce, badan rasmi yang menguruskan anugerah di laluan bersejarah tersebut.
Michelle difahamkan menjadi penerima ke-2,836, meletakkan namanya sebaris dengan tokoh-tokoh besar dalam dunia filem, muzik dan televisyen.
Penerbit Walk of Fame menyifatkan bintang itu sebagai pengiktirafan kepada seorang perintis yang memecah sempadan dan membuka ruang lebih luas buat representasi Asia di layar perak.
Momentum karier Michelle masih berada pada trajektori yang kukuh. Selepas kejayaan besar beberapa tahun kebelakangan ini, dia terus diberi kepercayaan untuk terlibat dalam projek berskala epik termasuk francais
Avatar 4 dan
Avatar 5 arahan James Cameron, selain beberapa produksi antarabangsa lain yang dinantikan peminat.
Kepelbagaian watak yang dibawanya membuktikan daya tahan serta keupayaan untuk terus relevan dalam industri yang sentiasa berubah.
Dalam perkembangan lain, Michelle turut menerima Golden Bear Kehormat bagi Pencapaian Sepanjang Hayat di Berlin International Film Festival, menambah satu lagi pengiktirafan berprestij dalam senarai pencapaiannya.
Lebih daripada sekadar nama di atas lantai Hollywood Boulevard, pengiktirafan ini menegaskan kedudukan Michelle sebagai aktres pertama dan satu-satunya rakyat Malaysia yang namanya diabadikan di situ.
Dari tanah air ke pentas dunia, kisahnya menjadi bukti bahawa asal-usul bukanlah batasan, sebaliknya titik mula kepada perjalanan yang mampu melangkaui imaginasi.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments