Oleh: AILEEN ADAM
KOREA Selatan berduka selepas kehilangan seorang legenda. Pelakon tersohor Ahn Sung-ki, yang digelar sebagai ‘Pelakon Kebangsaan’, meninggal dunia pada Isnin setelah lama bertarung dengan kanser darah.
Berita sedih ini disahkan oleh agensinya, Artist Company, serta Hospital Universiti Soonchunhyang di Seoul. Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun, meninggalkan warisan seni lakon yang begitu dihormati.
Kerjaya Ahn dalam dunia lakonan bermula sejak kecil apabila dia muncul dalam filem
The Twilight Train pada tahun 1957.
Sepanjang hayatnya, pelakon yang pernah menuntut dalam jurusan bahasa Vietnam di Universiti Hankuk ini membintangi hampir 70 filem, sebelum memilih untuk meniti kehidupan lebih tenang di luar industri hiburan. Namun, pengaruhnya dalam dunia filem Korea tetap kekal segar.
Jejak Karier dan Kejayaan
Nama Ahn melonjak ke persada populariti pada 1980 apabila mendiang membintangi filem
Good, Windy Days arahan Lee Jang-ho. Filem ini memaparkan realiti cabaran pekerja luar bandar ketika Korea berada di era pembangunan pesat, dan ia turut mengangkat Ahn meraih anugerah Pelakon Baharu Terbaik di Grand Bell Awards iaitu setaraf dengan Oscar di Korea Selatan.
Sepanjang era 1980-an dan 1990-an, Ahn terus menjadi wajah popular di layar perak. Mendiang membintangi filem-filem box-office dan karya kritikal seperti
Mandara (1981),
Whale Hunting (1984),
White Badge (1992),
Two Cops (1993),
No Where To Hide (1999),
Silmido (2003), dan
Radio Star (2006).
Prestasinya membolehkan Ahn memenangi lebih 20 trofi utama sepanjang kerjayanya, termasuk lima kali Anugerah Pelakon Terbaik Grand Bell di mana ia satu rekod yang masih belum dicabar pelakon lain.
Populariti dan dedikasi Ahn terhadap seni lakon menjadikannya salah seorang pelakon paling disayangi rakyat Korea. Gelaran ‘Pelakon Kebangsaan’ bukan sekadar penghormatan, tetapi simbol pengiktirafan terhadap sumbangannya yang tiada tolok bandingnya dalam dunia filem Korea.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments