DALAM landskap hiburan yang semakin kompetitif, Astro terus memperkukuh kedudukannya dengan memperkenalkan empat saluran baharu di bawah Pek Movies dan Pek Epic Astro One. Langkah ini bukan sekadar penambahan saluran, tetapi satu penyusunan semula pengalaman menonton yang lebih segar, pelbagai dan premium untuk pelanggan.
Bermula 1 Mac 2026, pelanggan boleh menikmati tiga saluran baharu iaitu Astro Showtime, Rock Action dan Rock X Stream yang menyuntik variasi kandungan antarabangsa merentasi filem blokbuster, aksi mendebarkan dan siri berprofil tinggi.
Antara yang menjadi tumpuan ialah Astro Showtime (Saluran 411), saluran yang menghimpunkan judul-judul popular dari Hollywood dan antarabangsa. Barisan filem blockbuster seperti
Violent Night, Jurassic World Dominion, Beast dan
Snow White and the Huntsman adalah pilihan yang menggabungkan elemen aksi, fantasi dan pengembaraan berskala besar. Ia jelas menyasarkan penonton yang menggemari pengalaman sinematik seperti di pawagam, tetapi dalam keselesaan ruang tamu sendiri.
Bagi pencinta aksi, Rock Action (Saluran 414) hadir sebagai destinasi khusus yang padat dengan filem berintensiti tinggi. Daripada klasik seperti
Miami Vice dan francais
Rambo, hinggalah kepada sensasi moden seperti
Godzilla Minus One, Ghostbusters dan
Captain Phillips, saluran ini mengekalkan momentum dengan naratif penuh ketegangan dan babak mendebarkan. Ia menawarkan variasi merentasi era, sekali gus memberi ruang kepada generasi berbeza untuk berkongsi minat sama.
Sementara itu, Rock X Stream (Saluran 415) memberi fokus kepada siri berprestij dengan nilai produksi tinggi dan penceritaan yang berani. Antara judul yang bakal ditampilkan termasuk
See, Mr. Robot, Black Sails serta
Nine Bodies in a Mexican Morgue. Dengan penekanan terhadap visual sinematik dan perkembangan karakter mendalam, saluran ini menyasarkan penonton yang menghargai kandungan setanding platform penstriman global, namun kini tersedia dalam satu ekosistem sama.
Penawaran baharu ini tidak terhenti di situ. Bermula 1 April 2026, satu lagi saluran akan menyusul iaitu Astro FAM Time (Saluran 412). Seperti namanya, saluran ini memfokuskan kepada hiburan mesra keluarga yang sesuai untuk semua peringkat umur. Antara filem yang bakal menceriakan suasana termasuk
Puss in Boots: The Last Wish, Minions: The Rise of Gru dan
Johnny English Reborn. Ia menjadi pilihan ideal untuk tontonan hujung minggu bersama keluarga, dengan kombinasi animasi, komedi dan pengembaraan yang ringan namun menghiburkan.
Dalam masa sama, perubahan turut berlaku terhadap penawaran kandungan HBO di Astro susulan model kerjasama baharu antara Warner Bros. Discovery dan Astro.
Bermula 1 Mac 2026, aplikasi HBO Max akan ditawarkan secara langganan ala carte berasingan kepada pelanggan Astro. Sehubungan itu, saluran HBO HD, Cinemax HD, HBO Family dan HBO Hits tidak lagi tersedia di platform tersebut.
Bagi pelanggan yang ingin terus menikmati siri dan filem HBO, langganan HBO Max sebagai add-on membolehkan akses kepada pelbagai HBO Originals, filem blokbuster dan siri eksklusif. Pelanggan sedia ada HBO Max pula tidak akan terjejas dengan perubahan ini.
Menariknya, pelanggan Pek Movies dan Pek Epic Astro One masih menikmati akses kepada aplikasi Prime Video dan Disney+ tanpa caj tambahan.
Selain itu, saluran seperti HITS Movies HD (Saluran 401) dan Astro Showcase (Saluran 413) kekal sebagai sebahagian daripada pakej, menawarkan tayangan baharu serta pilihan filem merentasi pelbagai genre.
Keseluruhannya, langkah terbaharu ini memperlihatkan bagaimana Astro sedang menstruktur semula penawaran hiburannya agar lebih relevan dengan tabiat tontonan semasa.
Dengan gabungan saluran tematik dan akses kepada platform penstriman global dalam satu ekosistem, pelanggan kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyesuaikan pengalaman hiburan mengikut citarasa masing-masing, sama ada pencinta filem blokbuster, peminat aksi, penggemar siri berprestij atau keluarga yang mahukan tontonan santai bersama.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments