Angelina Jolie di Sempadan Rafah: Tinjau Usaha Bantuan Kemanusiaan Gaza


DI tengah konflik yang masih bergolak, Angelina Jolie sekali lagi menggunakan pengaruhnya untuk membawa perhatian dunia kepada mereka yang memerlukan.

Baru-baru ini, bintang Hollywood dan aktivis kemanusiaan ini menjejakkan kaki ke sempadan Rafah, Mesir, pintu masuk utama bagi bantuan ke Gaza, untuk meninjau sendiri cabaran dalam penghantaran bantuan ke wilayah yang terjejas.

Jolie tiba bersama delegasi Amerika Syarikat dan disambut oleh pegawai tempatan serta sukarelawan di sempadan.

Kehadiran bintang Maleficent itu bagi menyaksikan sendiri kerja sukarelawan yang menjadi tulang belakang penghantaran barangan perubatan dan bekalan lain yang masih tersekat menunggu kelulusan masuk ke Gaza.

Jolie menyifatkan pengalaman ini sebagai satu penghormatan, terutamanya ketika melihat bagaimana dedikasi mereka membantu rakyat yang terjejas secara langsung oleh konflik.

Menyorot Cabaran Kemanusiaan

Sebagai bekas Special Envoy UNHCR selama lebih 20 tahun, aktres ini sudah terbiasa dengan krisis kemanusiaan global.

Lawatan ini berlaku ketika sempadan Rafah dijadualkan dibuka semula sejak Oktober di bawah perjanjian gencatan senjata, tetapi penghantaran bekalan penting ke Gaza masih menghadapi sekatan.



Dalam pertemuan dengan sukarelawan dan pegawai tempatan, Jolie menekankan kepentingan membuka akses bantuan dengan selamat dan segera agar barangan kritikal seperti makanan, bahan perubatan, dan bahan bakar dapat dihantar ke rakyat Gaza yang sangat memerlukan.

Selain meninjau penghantaran bantuan, bintang berusia 51 ahun itu juga juga melawat hospital di sekitar al-Arish, tempat ramai rakyat Palestin yang cedera akibat konflik menerima rawatan.

Kehadirannya di situ memberi penghargaan kepada tenaga perubatan dan kakitangan hospital yang bekerja tanpa henti dalam situasi serba terbatas.

Lawatan ini sekali lagi menonjolkan peranan selebriti sebagai suara untuk mereka yang tak terdengar, dan bagaimana pengaruh global boleh digunakan untuk advokasi kemanusiaan yang nyata.

Walaupun Jolie dan pihak berkuasa Mesir belum mengeluarkan kenyataan rasmi, kehadirannya di Rafah memberi tumpuan kepada satu realiti yang sukar diabaikan iaitu krisis kemanusiaan di Gaza memerlukan tindakan segera, bukan hanya perhatian. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments