KESEDIHAN sekali lagi menyelubungi keluarga penyanyi tersohor Ziana Zain dan Anuar Zain apabila ibu mereka, Robiah Abdul, menghembuskan nafas terakhir pada malam Rabu.
Pemergian Allahyarhamah berlaku hanya empat bulan selepas kehilangan bapa tercinta, menjadikan tahun ini satu tempoh yang cukup menguji buat dua beradik berkenaan.
Allahyarhamah Robiah meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Klang, sekitar jam 10.42 malam, pada usia 74 tahun, akibat kanser hati.
Berita duka itu disahkan oleh Ziana Zain, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 57, yang menerima ketentuan Ilahi dengan penuh reda meskipun berat untuk dilalui.
Anak sulung daripada lima beradik itu memaklumkan arwah ibunya telah berdepan dengan kanser hati sejak setahun lalu sebelum penyakit tersebut merebak ke beberapa organ dalaman lain.
Keadaan kesihatan Allahyarhamah dilaporkan semakin merosot sejak kebelakangan ini, dengan kanser berkenaan turut menjejaskan usus dan buah pinggang, menyebabkan tahap kesihatannya kian lemah dari hari ke hari.
Keluarga terdekat sentiasa berada di sisi sepanjang tempoh rawatan, memberikan sokongan sehingga ke saat-saat akhir.
Sebelum ini, keluarga Ziana dan Anuar Zain turut dikejutkan dengan pemergian bapa mereka, Zain @ Zin Abdullah, yang meninggal dunia pada 26 Ogos lalu di usia 87 tahun.
Kehilangan dua insan terpenting dalam tempoh yang singkat pastinya meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada peminat yang turut bersimpati dengan ujian yang dihadapi. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments