Tragedi di Hollywood: Pengarah Legenda Rob Reiner, Isteri Ditemui Maut


HOLLYWOOD digemparkan dengan berita tragis apabila pengarah dan pelakon terkenal Rob Reiner, bersama isterinya Michele Singer Reiner, ditemukan mati di kediaman mewah mereka di Brentwood, Los Angeles pada petang Ahad.

Insiden ini kini sedang disiasat sebagai sebuah pembunuhan yang mengejutkan komuniti filem dan peminat di seluruh dunia.

Menurut kenyataan daripada pihak berkuasa, pasukan bomba Los Angeles menerima panggilan kecemasan sekitar 3.30 petang waktu tempatan, dan sebaik tiba di lokasi, didapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan tidak bernyawa di dalam rumah mereka.

Ujian awal menunjukkan keduanya mengalami kecederaan yang konsisten dengan luka akibat senjata tajam. Penyiasat dari Los Angeles Police Department (LAPD) telah mengklasifikasikan kejadian ini sebagai homicide dan diserahkan kepada unit Robbery-Homicide Division untuk siasatan menyeluruh.

Bagaimanapun sehingga kini tiada suspek yang diumumkan oleh pihak berkuasa, tetapi tidak menolak kaitan dengan individu terdekat pasangan itu terlibat dalam kes berkenaan.

Jurucakap keluarga Reiner dalam satu kenyataan ringkas berkata, kehilangan itu memberi tamparan hebat kepada ahli keluarga dan sahabat terdekat.

"Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan pemergian tragis Michele dan Rob Reiner. Kehilangan secara tiba-tiba ini amat memilukan dan kami memohon agar diberikan ruang privasi pada saat yang sangat sukar ini," ujar kenyataan itu.

Reiner, 78, yang juga merupakan anak kepada pelawak legenda Carl Reiner dan pelakon Estelle Reiner diangkat sebagai salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam dunia filem dan televisyen Amerika. Mendiang mula dikenali melalui wataknya sebagai Michael 'Meathead' Stivic dalam sitkom klasik, All in the Family pada era 1970-an, peranan yang membawanya meraih dua Anugerah Emmy.

Peralihan kerjaya kepada dunia pengarahan menyaksikan kejayaan berterusan dengan filem-filem yang menjadi ikonik seperti This Is Spinal Tap, Stand by Me, The Princess Bride, When Harry Met Sally…, Misery dan A Few Good Men, mendapat perhatian peminat daripada generasi ke generasi.

Selain kejayaan artisitiknya, Reiner juga dikenali sebagai seorang pembela kuat untuk isu-isu sosial dan politik di mana mendiang pernah menubuhkan organisasi dan menyokong pelbagai inisiatif hak sivil dan kempen kebajikan.

Mendiang isterinya, Michele Singer Reiner, 68, pula adalah seorang penerbit, jurugambar dan aktivis, yang turut aktif menyokong kerja-kerja sosial bersama suaminya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1989 dan dikurniakan tiga anak, serta meninggalkan legasi bukan sahaja dalam dunia hiburan tetapi juga dalam komuniti mereka sendiri.

Dengan penyiasatan yang masih berjalan dan banyak butiran yang belum diumumkan secara rasmi, tragedi ini terus menjadi topik utama dalam laporan berita antarabangsa. Sebuah kisah yang mengejutkan bukan sahaja dunia filem tetapi juga peminat dan komuniti global. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments