Tarikh Baharu ‘For You Nourul’ Diumumkan: 30 Mei 2026 Bakal Jadi Malam Penuh Makna


HASRAT untuk menghadiahkan sebuah malam yang benar-benar bermakna buat peminat mendorong Nourul membuat keputusan penting dalam perjalanan konsert solonya.

Persembahan ‘For You Nourul’ yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026 kini dianjak ke 30 Mei 2026, dengan lokasi kekal di Zepp Kuala Lumpur.

Keputusan tersebut bukan sekadar perubahan tarikh, sebaliknya satu langkah strategik demi memastikan pengalaman yang lebih menyeluruh dan berkualiti buat peminat.

Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tempatan, konsert solo ini membawa makna tersendiri buat penyanyi yang sinonim dengan lagu Kerana Terluka itu.

Ia dirancang sebagai sebuah perayaan karier dan malam yang bukan hanya memaparkan seleksi lagu popular nyanyiannya, tetapi juga merangkum perjalanan seni dan emosi yang telah dibina sejak awal pembabitan anak jati Pulau Pinang itu dalam dunia hiburan.

ND Entertainment selaku penganjur dalam satu kenyataan berkata, di sebalik penjadualan semula ini, terdapat pertimbangan yang lebih luas untuk konsert tersebut. Selain mengambil kira faktor musim perayaan utama umat Islam seperti Aidilfitri dan Aidiladha, tarikh baharu itu dilihat lebih ideal untuk memberi ruang kepada peminat membuat persiapan sewajarnya.

Dalam konteks industri konsert yang semakin kompetitif, pemilihan masa yang tepat sering menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah penganjuran.

Lebih Masa, Lebih Teliti, Lebih Bermakna

Sementara tu, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab, 49, menjelaskan penukaran tarikh ini juga memberi peluang kepada pihaknya memperhalusi setiap perincian, daripada konsep pentas hingga pemilihan artis jemputan.

Lebih menarik, konsert ini kini diuruskan di bawah syarikat miliknya sendiri, sekali gus memberi kebebasan kreatif yang lebih luas dalam menentukan hala tuju persembahan.

“Antara sebab tarikh For You Nourul ditukar kepada 30 Mei 2026 adalah kerana melalui proses perbincangan bagi mencapai kata sepakat untuk penyusunan semula jadual perjalanan konsert susulan penukaran penganjur lama kepada syarikat saya sendiri,” jelasnya.

Peralihan penganjur kepada syarikatnya sendiri bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi mencerminkan fasa baharu dalam kerjayanya sebagai artis dan usahawan seni.

Dengan kawalan yang lebih menyeluruh terhadap perancangan dan pelaksanaan, ‘For You Nourul’ dijangka tampil sebagai sebuah produksi yang benar-benar mencerminkan identiti serta citarasa muziknya.

Konsert ini dilihat sebagai momen keraian antara penyanyi dan peminat yang telah setia menyokong perjalanan seninya sejak awal.

Dalam suasana intim di Zepp Kuala Lumpur, malam tersebut berpotensi menjadi ruang nostalgia, apresiasi dan juga pembuktian bahawa pesona Nourul masih relevan dalam landskap muzik masa kini.


Tiket bagi konsert ‘For You Nourul’ boleh didapati mengikut kategori harga yang telah ditetapkan menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U.

Dengan tarikh baharu yang lebih strategik dan perancangan yang semakin diperhalusi, 30 Mei 2026 kini menjadi tarikh yang dinanti, bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan perjalanan seni yang panjang dan penuh cerita.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments