Oleh: SORAYA AFNAN
SELEPAS sedekad membina nama sebagai pencipta kandungan digital dan usahawan makanan yang mencetus fenomena, Khairul Aming kini melangkah ke fasa baharu apabila mengumumkan pembukaan restoran pertamanya, Rembayung, yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Perkongsian itu dibuat menerusi platform media sosial miliknya pada Selasa, setelah hampir setahun menyimpan rahsia tenang projek yang diusahakan bersama dua rakan kongsi.
Menurut pemilik nama penuh Khairul Aming Kamarulzaman, 33, langkah ini menandakan permulaan kepada perancangannya untuk 10 tahun akan dating, satu visi yang lebih besar daripada sekadar menghasilkan kandungan dalam talian.
“Selepas 10 tahun dalam dunia online, saya akhirnya bersedia untuk memulakan langkah ke dunia offline. Ini adalah permulaan untuk perancangan saya 10 tahun seterusnya. Selamat datang ke Rembayung,” katanya.
Restoran Rembayung dibina di atas tanah kosong seluas 8,000 kaki persegi di Kampung Baru, dengan kos keseluruhan mencecah RM4 juta.
Ia dijangka beroperasi pada Januari tahun depan dan terletak hanya sembilan minit dari KLCC atau Menara Berkembar PETRONAS, menjadikannya destinasi yang strategik untuk penduduk tempatan serta pelancong luar.
Rekaan Semi ‘Glass-House’
Dalam video sama, Khairul Aming berkongsi perjalanan Projek Rembayung yang bermula awal tahun ini. Jelasnya, proses pembinaan dilakukan dari kosong kerana ingin memastikan setiap perincian memenuhi visi yang dirancang.
Berbekalkan pengalaman lama rakan kongsi dalam industri restoran, mereka bertiga berganding tenaga sehingga Rembayung berdiri sebagai sebuah realiti.
"Selepas setahun simpan rahsia, akhirnya hari ini saya boleh umum yang restoran pertama Khairul Aming sudah pun siap dibina. Dengan bermodal RM4 juta, kita bina restoran makanan kampung.
"Proses ini bermula dari awal tahun lagi sebab kita bermula daripada kosong, jadi prosesnya akan mengambil masa sedikit," katanya.
Dari segi reka bentuk, Khairul Aming berkata, restoran ini mengetengahkan konsep semi ‘glass-house’ yang luas dan boleh menampung sehingga 250 pelanggan pada satu masa.
Mengambil inspirasi suasana gudang yang terbuka, Rembayung memadukan elemen kayu, dedaunan hijau dan aliran angin sepoi-sepoi bahasa.
Gabungan ini direka untuk memberikan pengalaman menjamu selera yang segar, santai dan sedikit berbeza daripada kebiasaan, sesuai untuk pengunjung tempatan mahupun dari seluruh dunia.
Selain itu, pembukaan restoran ini turut membawa impak positif kepada komuniti apabila ia menyediakan peluang pekerjaan kepada 50 anak tempatan.
"Mereka semua tidak tahu bahawa restoran ini milik saya, mereka mohon, pergi temu duga dah lulus baru mereka tahu," katanya.
Walaupun tarikh pembukaan rasmi dan senarai menu masih dirahsiakan, orang ramai sudah menujukkan keterujaan luar biasa mereka. Media sosial dibanjiri komen yang tidak sabar untuk merasai sendiri pengalaman gastronomi di Rembayung, sekali gus menandakan permulaan era baharu buat Khairul Aming dalam dunia perniagaan fizikal. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments