| Michelle Yeoh terus banggakan Malaysia | FOTO: Instagram Tan Sri Michelle Yeoh |
BINTANG Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, bakal diraikan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Golden Bear pada Festival Filem Antarabangsa Berlin 2026, yang akan berlangsung pada 12 Februari tahun depan.
Pengiktirafan tertinggi festival itu meletakkan Michelle, 63, sebaris dengan nama-nama legenda dunia filem, sekali gus menandakan satu lagi detik penting dalam kariernya yang sudah pun penuh pencapaian ikonik.
Menurut Pengarah Festival, Tricia Tuttle, anugerah berprestij tersebut diberikan sebagai penghormatan kepada perjalanan kerjaya Michelle yang luar biasa.
“Michelle adalah seorang artis dan pelakon dengan karya-karyanya melangkaui sempadan geografi, bahasa, mahupun layar.
"Kehadirannya yang unggul, pilihan seni yang berani dan gaya uniknya telah meninggalkan kesan mendalam kepada generasi pembikin filem dan peminat di Berlinale serta di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Legasi Bintang Malaysia yang Mendunia
Pada penghujung 1980-an dan awal 1990-an, Michelle mula memahat namanya melalui filem-filem aksi Asia seperti Yes, Madam, Royal Warriors, Police Story III, dan Wing Chun, yang menjadikannya antara ikon utama genre tersebut.
Namun, kejayaan antarabangsa benar-benar meletup pada 1997 apabila dia membintangi Tomorrow Never Dies, diikuti persembahan yang terus kekal dalam sejarah filem menerusi Crouching Tiger, Hidden Dragon.
Kehebatannya dalam lakonan mencapai kemuncak pada 2023 apabila Michelle memenangi Oscar bagi Pelakon Wanita Terbaik menerusi Everything Everywhere All at Once, menjadikannya pelakon Asia pertama merangkul anugerah utama itu dan detik yang terus menjadi simbol representasi dan kebanggaan Asia di Hollywood.
Terbaharu, anak jati Ipoh, Perak ini tampil sebagai Madame Morrible dalam Wicked: For Good, adaptasi muzikal penuh warna yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 20 November ini.
Dalam sejarahnya, Anugerah Golden Bear pernah diberikan kepada tokoh-tokoh besar dunia seperti Helen Mirren, Martin Scorsese, Meryl Streep, Steven Spielberg dan Tilda Swinton.
Kini, Michelle Yeoh menyertai kelompok elit itu, satu lagi bukti bahawa legasi bintang Malaysia ini terus bersinar di pentas global. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments